Khamis, 23 Disember 2021 | 8:41am
Ilustrasi menunjukkan kawasan hutan bakau di PulauAprojek PSR berpotensi menjadi tarikan ekopelancongan, selain menjadi habitat hidupan laut.
Ilustrasi menunjukkan kawasan hutan bakau di PulauAprojek PSR berpotensi menjadi tarikan ekopelancongan, selain menjadi habitat hidupan laut.

Warta hutan simpanan kekal untuk luaskan hutan bakau

Kuala Lumpur: Usaha meluaskan kawasan hutan bakau di Pulau Pinang dipermudahkan dengan cadangan kerajaan negeri untuk mewartakan hutan simpanan kekal, termasuk hutan paya laut di bawah Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 (RSNPP 2030).

Untuk mengimbangi keperluan memelihara alam semula jadi dengan keperluan pembangunan, RSNPP 2030 menggariskan dasar strategik pelaksanaan dan langkah untuk mengekalkan kawasan berhutan serta memelihara kawasan sensitif alam sekitar termasuk hutan paya laut.

Pengarah Jabatan Perhutanan Pulau Pinang, Muhammad Ezhar Yusuf, berkata tahun ini hutan paya air tawar dan laut seluas 428.61 hektar di Air Hitam Dalam, Sungai Jawi, Penaga dan Pulau Betong dicadangkan untuk diwartakan sebagai hutan simpanan kekal.

Katanya, untuk 2022 pula, Pulau Pinang bercadang untuk mewartakan 304.1 hektar lagi kawasan paya laut di Sungai Udang dan Sungai Chenaam di Seberang Perai Selatan.

"Pewartaan baharu ini akan menambahkan keluasan kawasan hutan paya yang dilindungi Akta Perhutanan Negara 1984 yang ketika ini hanya berkeluasan 381.4 hektar, iaitu 166.38 hektar di Balik Pulau dan 214.66 hektar di Byram, Nibong Tebal," katanya.

Muhammad Ezhar berkata, mengikut rekod Jabatan Perhutanan negeri, kawasan 381.4 hektar yang sedia ada ketika ini hanya 7.07 peratus daripada keluasan keseluruhan hutan simpanan kekal di Pulau Pinang iaitu 5,386.77 hektar, yang diwartakan dari 1911 sehingga November 2021.

Katanya, berdasarkan buku Status of Mangroves in Malaysia yang diterbitkan oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) pada 2020, keluasan hutan paya laut di Pulau Pinang didapati merosot dari 1,967 hektar pada 2017 ke 1,050 hektar pada 2020.

Beliau yang menyambut baik cadangan pewartaan berkenaan, berkata Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Alam Sekitar turut mengenal pasti 36 lokasi kawasan hutan paya laut seluas 1,612 hektar di seluruh negeri yang sesuai untuk diwartakan sebagai hutan simpanan kekal.

"Cadangan itu membolehkan Jabatan Perhutanan menggiatkan lagi aktiviti penanaman bagi meningkatkan jumlah pokok bakau dan spesies yang sesuai di kawasan paya laut, sekali gus menambahkan daya tahan kawasan hutan paya laut di Pulau Pinang," katanya.

Muhammad Ezhar berkata, Jabatan Perhutanan negeri kini menyasarkan untuk menanam lebih 10,000 pokok, termasuk spesies bakau setiap tahun.

Katanya, ia selaras dengan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di Malaysia oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), serta sasaran Pulau Pinang untuk menanam 200,000 pokok menjelang 2030.

Farizan pada program penanaman pokok bakau di kawasan hutan paya laut di Pulau Pinang
Farizan pada program penanaman pokok bakau di kawasan hutan paya laut di Pulau Pinang

"Justeru, penyelidikan terperinci juga perlu dilaksanakan untuk membolehkan kawasan hutan paya laut ini diperluaskan dengan menggunakan kaedah penanaman baharu atau teknologi tertentu untuk memperbaiki kawasan pesisir pantai," katanya.

Berdasarkan rekod Jabatan Perhutanan negeri katanya, sebanyak 248,503 pokok bakau dan pokok pesisiran pantai sudah ditanam di kawasan pesisir pantai seluruh negeri membabitkan keluasan 86 hektar dari tahun 2005 sehingga November 2021.

Beliau berkata, di Pulau Pinang, kawasan hutan paya laut tertumpu di kawasan pesisir pantai di Balik Pulau, Pulau Betong dan Batu Maung untuk di bahagian pulau, manakala di Seberang Perai pula di Teluk Air Tawar, Penaga, sepanjang Sungai Perai dan pesisir Sungai Juru, Sungai Acheh, Sungai Chenaam serta Byram.

"Kerajaan negeri juga sudah melancarkan Agenda Hijau Pulau Pinang (PGA) 2030 yang lengkap dengan strategi, pelan tindakan dan penunjuk kemampanan pembangunan mengikut Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDG) untuk menghadapi cabaran alam sekitar secara global pada masa hadapan.

"Program pemeliharaan hutan paya laut sebagai asas pembangunan infrastruktur berdaya tahan ke atas kesan perubahan iklim juga akan menjadi sebahagian daripada 'Penang Resilient Infrastructure Masterplan' yang sedang dimuktamadkan oleh kerajaan negeri," katanya.

Katanya, selain sokongan kerajaan negeri dan KeTSA dari segi kewangan dan pembentukan dasar, Jabatan Perhutanan negeri juga mendapat kerjasama daripada agensi kerajaan lain termasuk Pejabat Daerah dan Tanah, kedua-dua Majlis Bandaraya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sektor swasta untuk menjayakan program penanaman bakau dan kempen kesedaran.

Muhammad Ezhar berkata, baru-baru ini Jabatan Perhutanan negeri, Penang Infrastructure Corporation (PIC) dan Persatuan Kebajikan Nelayan-Nelayan Pantai Pulau Pinang (PIFWA) turut menjayakan program penanaman 1,000 pokok bakau di Kuala Haji Harun, Sungai Chenaam di Seberang Perai Selatan.

"Kerjasama dengan PIC yang menjadi rakan strategik jabatan adalah contoh terbaik kepada syarikat berkaitan kerajaan lain untuk menunjukkan bahawa kepentingan alam sekitar harus dijadikan agenda utama dalam setiap pembangunan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PIC, Datuk Seri Farizan Darus berkata, PIC selaku syarikat tujuan khas yang mengendalikan pelaksanaan Projek Tambakan Pulau Pinang Selatan (PSR) akan bekerjasama secara langsung dengan Jabatan Perhutanan negeri untuk menanam pokok bakau di kawasan hutan paya laut di seluruh Pulau Pinang.

Katanya, penanaman pokok bakau adalah sebahagian daripada program offset (pengimbangan) ekologi yang disyaratkan dalam Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) projek PSR sebagai langkah shoreline enhancement.

"Pembangunan Pulau A akan diperuntukkan kawasan kira-kira lapan hektar khusus untuk menanam spesies pesisir pantai bagi mewujudkan ekosistem hutan pantai yang juga berpotensi untuk menjadi zon rekreasi dan tarikan eko-pelancongan," katanya.

Farizan berkata, usaha itu akan diteruskan berikutan hutan bakau berperanan dalam mengurangkan kesan perubahan iklim sebagai penyerap karbon terbaik dalam kalangan semua jenis hutan.

Selain itu katanya, ia juga menjadi benteng pertahanan kepada hakisan ombak, tapak nurseri untuk hidupan laut, serta tempat persinggahan bagi burung hijrah.

Presiden PIFWA, Ilias Shafie, berkata aktiviti penanaman bakau, penjagaan hutan bakau dan kempen kesedaran yang dijalankan oleh organisasinya di Sungai Acheh dapat diteruskan dengan adanya sokongan kerajaan dan sektor swasta.

Katanya, sukar untuk menghentikan pembangunan namun persekitaran semula jadi sedia ada masih perlu terus dilindungi.

"Oleh itu, adalah penting untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan orang muda supaya mereka menyokong dan meneruskan usaha memelihara hutan bakau," katanya.

Berita Harian X