Rabu, 22 Disember 2021 | 11:24pm
(Gambar hiasan) Kenderaan turut ditenggelami banjir yang melanda negara. - NSTP/FAIZ ANUAR
(Gambar hiasan) Kenderaan turut ditenggelami banjir yang melanda negara. - NSTP/FAIZ ANUAR

Bengkel kenderaan diingatkan usah ambil kesempatan

PUTRAJAYA: Pengusaha bengkel kenderaan bermotor diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan dengan mengenakan harga melampau bagi kerja pembaikan yang diperlukan orang ramai susulan banjir yang melanda negara ketika ini.

Pengarah (Penguat Kuasa) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam, berkata peniaga bengkel terbabit harus mematuhi Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) 2002, Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Beliau menegaskan, KPDNHEP akan meningkatkan pemantauan ke atas premis perniagaan kenderaan bermotor, dan peniaga yang disyaki mengambil kesempatan boleh disiasat bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018.

Sepanjang tahun ini, katanya, KPDNHEP menjalankan sebanyak 570 pemeriksaan terhadap bengkel kenderaan bermotor, dan 76 kes sudah diambil tindakan dengan nilai kompaun sebanyak RM21,250.

"Pengguna dinasihatkan berhati-hati mendapatkan sebut harga secara bertulis berkaitan jangkaan pembaikan kenderaan daripada peniaga," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau sekali gus menyarankan pengguna supaya mendapatkan perkhidmatan pembaikan di pusat servis kenderaan berkaitan sekiranya kenderaan masih dalam jaminan.

Untuk sebarang aduan atau maklumat, orang ramai boleh melaporkan kepada KPDNHEP melalui saluran aduan: WhatsApp 019-279 4317, portal aduan: e-aduan.kpdnhep.gov.my, Call Centre: 1-800-886-800, emel: e-aduan@kpdnhep.gov.my dan Ez ADU KPDNHEP.

Banjir yang sedang melanda negara menyebabkan kerosakan pelbagai harta benda, termasuk kenderaan bermotor. - BERNAMA

Berita Harian X