Rabu, 22 Disember 2021 | 8:59pm
Keadaan banjir di Mentakab, Pahang, hari ini. - Foto ihsan JBPM
Keadaan banjir di Mentakab, Pahang, hari ini. - Foto ihsan JBPM

Mangsa banjir di PPS sekitar Selangor kembali meningkat

KUALA LUMPUR: Mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor kembali meningkat, manakala Kuala Lumpur dan lima negeri lain menunjukkan penurunan, setakat petang tadi.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan sejumlah 62,795 mangsa banjir ditempatkan di 401 PPS membabitkan tujuh negeri dan Wilayah Persekutuan, iaitu Selangor, Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan serta Kuala Lumpur.

Di Selangor, Info Bencana JKM melaporkan seramai 21,385 mangsa banjir (5,510 keluarga) dicatatkan setakat petang tadi, meningkat sedikit berbanding 21,047 (5,274 keluarga) pada jam 12.38 tengah hari, dengan kesemua mereka ditempatkan di 117 PPS.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi Twitternya berkata, sebanyak 1,073 tan sampah dan tinggalan banjir diangkut, semalam, di kawasan terbabit dan kerajaan negeri akan melipatgandakan usaha membantu penduduk membersihkan rumah.

Di Pahang, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan jumlah mangsa banjir merekodkan penurunan, iaitu 36,841 orang yang ditempatkan di 267 PPS di sembilan daerah, setakat jam 4 petang, berbanding 38,810 orang di 285 PPS tengah hari tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula meramalkan ribut petir di beberapa tempat membabitkan daerah Rompin pada sebelah malam.

Kerajaan Pahang turut melancarkan Tabung Bencana Banjir Pahang 2021, hari ini, di mana sumbangan boleh dibuat melalui pindahan dalam talian menerusi nombor akaun 06010002165711 (Bank Muamalat) dengan rujukan Tabung Banjir Pahang.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir turut menunjukkan penurunan setakat jam 6 petang tadi, dengan 1,782 orang (603 keluarga) ditempatkan di 10 PPS di Pasir Mas dan Kuala Krai, berbanding 2,415 orang (760 keluarga) pada tengah hari tadi.

Portal rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula melaporkan hanya dua sungai utama berada pada paras bahaya membabitkan jajahan Pasir Mas, iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang merekodkan bacaan 9.31 meter (m) dan Sungai Kelantan di Rantau Panjang (9.24 m).

Di Melaka, bilangan mangsa banjir ditempatkan di tiga PPS di Alor Gajah dan Jasin berkurangan kepada 150 orang (37 keluarga) setakat jam 4 petang, berbanding 165 orang (41 keluarga) pada tengah hari tadi.

Di Kuala Lumpur, seramai 319 orang (80 keluarga) ditempatkan di dua PPS, iaitu Kelab Sultan Sulaiman dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Saraswathy.

Di Negeri Sembilan, 345 mangsa banjir ditempatkan di lima PPS.

Di Perak, banjir menyebabkan 257 mangsa (72 keluarga) ditempatkan di dua PPS di daerah Hilir Perak, setakat jam 6 petang tadi. – BERNAMA

Berita Harian X