Rabu, 22 Disember 2021 | 7:32pm
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Seri Alexander Nanta Linggi turun padang ke Taman Bandar Sri Ehsan di Bukit Changgang, Kuala Langat, mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir. - Foto FB KPDNHEP
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Seri Alexander Nanta Linggi turun padang ke Taman Bandar Sri Ehsan di Bukit Changgang, Kuala Langat, mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir. - Foto FB KPDNHEP

KPDNHEP agih bantuan untuk mangsa banjir Kuala Langat, Bentong

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengedarkan bantuan makanan dan keperluan asas kepada penduduk terjejas banjir di beberapa lokasi hari ini dan semalam.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bersama beberapa pegawai kementerian turun padang ke Taman Bandar Sri Ehsan di Bukit Changgang, Kuala Langat yang dilapor menempatkan 1,200 keluarga membabitkan kira-kira 3,500 penduduk yang terkesan akibat bencana berkenaan.

"Meskipun kawasan perumahan ini terselamat daripada dinaiki air, jalan masuk dan keluar telah ditutup berikutan kenaikan paras air yang menghalang kemasukan kenderaan keluar masuk. Bekalan elektrik juga sudah terputus selama enam hari.

"Terdapat sebuah pusat rawatan kesihatan sementara disediakan, namun dalam situasi terputus bekalan elektrik dan jalan masuk keluar ditutup akibat banjir, usaha pasukan perubatan di sini agak terbatas.

"Saya mewakili pihak KPDNHEP telah menyampaikan sumbangan barangan makanan kering kepada penduduk di sini seperti beras, minyak masak, gula, susu dan sebagainya. Saya difahamkan bantuan beras dan gula amat diperlukan oleh penduduk di kawasan yang terjejas ini," katanya dalam hantaran di Facebook kementerian, hari ini.

Katanya, KPDNHEP juga amat bersyukur kerana pelbagai agensi di bawahnya dan syarikat swasta seperti Shopee turut menyumbang kepada mangsa banjir melalui usaha yang diambil kementerian, manakala agensi-agensi lain juga turun padang sama-sama membantu mangsa banjir.

"Saya berdoa agar situasi banjir ini akan reda dengan cepat dan berharap agar bantuan yang disampaikan dapat memberi sedikit kelegaan dan memudahkan segala urusan penduduk, agensi dan jabatan kerajaan serta sukarelawan NGO yang sedang berjuang membantu mangsa-mangsa banjir," katanya.

Sementara itu, Timbalannya, Datuk Rosol Wahid semalam turun padang mengagihkan 300 kotak bantuan barang makanan asas kepada mangsa banjir di Bentong, Pahang. Sumbangan menerusi Program Food Bank itu, antaranya beras, gula, minyak masak, tepung gandum, biskut, roti, susu pekat dan susu cair.

"Kotak bantuan itu turut mengandungi mi segera, ubat dan berus gigi, sabun mandi, air mineral, makanan dalam tin, pelitup muka serta lampin pakai buang kanak-kanak dan dewasa untuk meringankan bebanan mangsa.

"Secara peribadi, saya amat bersimpati dan terkesan dengan musibah yang meragut nyawa, memusnahkan kediaman dan menyebabkan kehilangan harta benda dan berharap semua mangsa bersabar serta tabah melalui ujian ini," katanya selepas meninjau keadaan di Bentong.

Beliau turut menyantuni mangsa banjir di Taman Harmoni, Taman Bukit Piatu dan penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Bukit Piatu serta Surau Kawasan Perindustrian Bentong.

Rosol berkata, kementerian akan terus melihat keperluan mangsa banjir di negeri terjejas dan akan menyalurkan bantuan sewajarnya, terutama bekalan makanan dan keperluan asas bagi meringankan beban mereka.

"Rata-rata mangsa menyifatkan banjir kali ini adalah yang terburuk dalam tempoh 50 tahun. Penduduk memaklumkan selain bantuan makanan dan keperluan asas termasuk pakaian, mereka juga amat memerlukan bantuan alatan pembersihan dan tenaga sukarelawan untuk membersihkan kediaman yang teruk diselaputi lumpur akibat banjir buruk hujung minggu lalu," katanya.

Beliau berkata, KPDNHEP juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyokong usaha murni berkenaan, khususnya Yayasan Al Manjie.

Berita Harian X