Rabu, 22 Disember 2021 | 3:37pm
Mangsa banjir mula kembali ke kawasan perumahan mereka setelah banjir di Taman Seri Muda Seksyen 25 semakin surut ketika tinjauan hari ini. - Foto BERNAMA
Mangsa banjir mula kembali ke kawasan perumahan mereka setelah banjir di Taman Seri Muda Seksyen 25 semakin surut ketika tinjauan hari ini. - Foto BERNAMA

Sungai Langat, Sungai Bernam berada paras bahaya

SHAH ALAM: Sungai Langat di Bukit Changgang yang terletak dalam daerah Kuala Langat merekodkan paras 4.61 meter (m) melepasi paras bahaya (4.20 m) setakat jam 2.45 petang ini.

Sungai Bernam di Rimba KDR dalam daerah Sabak Bernam berada pada paras 2.73 m melepasi paras bahaya iaitu 2.30 meter.

Menurut laporan terkini di laman sesawang InfoBanjir, Sungai Selangor di Kampung Asahan dalam daerah Kuala Selangor pula merekodkan 3.42 m turut melepasi tahap amaran (jingga) 3.38 m manakala empat sungai di paras berjaga-jaga setakat ini.

"Paras empat sungai di tahap berjaga-jaga adalah Sungai Langat di TNB Pangsun dalam daerah Hulu Langat mencatatkan 132.97 m, Sungai Selangor di Rantau Panjang (7.23 m) dan Sungai Buloh di Parit Mahang (Kuala Selangor) 3.80 m serta Sungai Langat di Dengkil (Sepang) 6.43 m," demikian menurut kenyataan itu.

Sementara itu, 10 lokasi Sungai Klang di seluruh Selangor berada pada tahap normal, ini membabitkan satu di Gombak, satu di Hulu Langat, dua di Klang, lima di daerah Petaling dan satu di Sepang.

Sebagaimana arahan pihak berkuasa dan pasukan penyelamat sebelum ini, orang ramai diingatkan mengelakkan diri ke kawasan berisiko dan dinaiki air demi keselamatan masing-masing.

Terdahulu, Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, belum ada sebarang arahan berpindah setakat tengahari tadi khususnya kepada penduduk di kawasan berisiko banjir

Bagaimanapun pihaknya sentiasa memantau keadaan di lokasi berisiko banjir ini, selain meminta penduduk juga lebih berwaspada.

"Belum (keluar arahan pindah). Pemantauan berterusan (oleh Bomba)," katanya hari ini.

Berita Harian X