Rabu, 22 Disember 2021 | 2:48pm
(Gambar fail) Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin. - NSTP/ASYRAF HAMZAH
(Gambar fail) Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin. - NSTP/ASYRAF HAMZAH

Jualan tiket bas, penerbangan VTL Malaysia-Singapura digantung sementara

PUTRAJAYA: Penjualan tiket bas dan penerbangan bagi kedua-dua inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia-Singapura (darat dan udara), digantung sementara berkuat kuasa esok hingga 20 Januari tahun depan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan terkini penularan COVID-19 membabitkan varian Omicron yang dilaporkan Singapura.

Bagaimanapun bagi pengembara yang sudah memiliki tiket perjalanan VTL darat dan udara serta memenuhi syarat ditetapkan, beliau berkata, mereka boleh meneruskan perjalanan bawah inisiatif itu.

"Penjualan tiket bas dan penerbangan bagi kedua-dua inisiatif VTL ini akan dibuka semula bermula 21 Januari 2022, selepas penilaian risiko dibuat berdasarkan situasi semasa COVID-19 di kedua-dua negara.

"Bagaimanapun, kuota tiket yang dijual akan dikurangkan daripada kuota sedia ada," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Khairy memaklumkan, Kementerian Kesihatan Singapura pada 20 Disember lalu mengeluarkan kenyataan media berhubung kejadian satu kluster tempatan COVID-19.

Katanya, ia membabitkan tiga kes positif termasuk dua menunjukkan kemungkinan varian Omicron, manakala keputusan bagi lain-lain kes masih belum selesai.

Berdasarkan kenyataan Kementerian Kesihatan Singapura, beliau berkata, ketiga-tiga kes terbabit tidak mempunyai sebarang sejarah perjalanan ke luar negara.

Khairy menjelaskan, maklumat lanjut berhubung arahan terkini penggantungan sementara penjualan tiket bas dan penerbangan bawah inisiatif VTL Malaysia-Singapura itu boleh dirujuk dengan Kementerian Pengangkutan (VTL Udara) serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (VTL Darat).

"Selain itu, Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan semua pengembara supaya bertanggungjawab dan sentiasa mematuhi arahan serta prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Ia termasuk melakukan ujian pengesanan COVID-19 secara kendiri dengan berkala bagi mengetahui status risiko diri sendiri, yang mampu mengurangkan risiko jangkitan kepada individu lain," katanya.

Berita Harian X