Rabu, 22 Disember 2021 | 1:42pm
- Hiasan. FOTO NSTP
- Hiasan. FOTO NSTP

Singapura beku jualan tiket VTL ke Malaysia

KUALA LUMPUR: Singapura mengambil langkah baharu dengan membekukan penjualan tiket penerbangan dan bas Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) ke Malaysia mulai hari ini sehingga 20 Januari 2022.

Kementerian Perdagangan dan Industri Singapura (MTI) berkata, langkah itu bertujuan untuk mengurangkan risiko negara itu terdedah itu kepada kes import Omicron COVID-19.

Bagaimanapun MTI berkata, sekiranya seseorang sudah membeli tiket penerbangan atau bas VTL dan memenuhi semua keperluan VTL lain, mereka boleh meneruskan perjalanan di bawah skim perjalanan bebas kuarantin.

Katanya, langkah ini untuk mengurangkan sementara kuota VTL dan jualan tiket perjalanan selepas 20 Januari 2022 selain memantau perkembangan dan mengemas kini dasar berkenaan apabila keadaan berubah.

"Kami akan terus memantau keadaan dengan teliti dan menilai kapasiti VTL (Darat) dengan mengambil kira situasi kesihatan awam di kedua-dua negara dan global.

"Kami perlu berhati-hati terhadap kes Omnicron kerana penyebaran pantas varian itu merentasi banyak negara dan sehingga kini 65 kes dikesan.

"Dengan pengesanan kontak rapat yang agresif dan langkah sekatan, kami berjaya mengehadkan penularan komuniti untuk tempoh mendatang," kata kenyataan itu, hari ini.

MTI berkata, individu bukan warganegara Singapura atau Penduduk Tetap (PR) boleh memohon Pas Perjalanan Bervaksinasi belum berbuat demikian melalui laman web https://go.gov.sg/vtl-portal.

Sementara itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) akan memberikan butiran lanjut untuk VTL-Udara.

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai VTL (Darat) antara Singapura dan Malaysia, boleh layari https://safetravel.ica.gov.sg/vtl-land/overview.

Berita Harian X