Rabu, 22 Disember 2021 | 1:35pm
Hakisan tebing yang berlaku di Sungai Kurau, Kuala Kurau, daerah Kerian. - Foto ihsan CAP
Hakisan tebing yang berlaku di Sungai Kurau, Kuala Kurau, daerah Kerian. - Foto ihsan CAP

Penduduk resah tebing Sungai Kurau semakin terhakis

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Perak dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menjalankan siasatan dan mengambil tindakan segera bagi menangani masalah hakisan di Sungai Kurau, di Kuala Kurau, daerah Kerian di sini.

Masalah yang berlaku sejak lima tahun lalu itu kini semakin serius dan membimbangkan penduduk di Kampung Raja Bashah kerana kesan kejadian terbabit sudah hampir dengan kediaman mereka.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader, berkata menerusi tinjauan yang dilakukan didapati kira-kira 20 rumah terletak sepanjang 400 meter di sungai berkenaan terdedah kepada bahaya ancaman itu.

"Beberapa pokok di kawasan sekitar di situ juga tumbang dipercayai akibat hakisan.

"CAP kesal dengan kejadian ini dan meminta pihak berwajib menjalankan kajian secara menyeluruh punca berlakunya masalah itu. Jika ia berlarutan, kemungkinan harta benda penduduk akan mengalami kerosakan dan kemusnahan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohideen berkata, pihaknya berpendapat kerajaan negeri dan jabatan yang terbabit perlu turun padang melihat masalah itu secara lebih dekat supaya tindakan bersepadu yang berkesan dapat diambil.

Penduduk, Salimah Mohamad, 60, berkata rumahnya kini sudah terlalu hampir dengan tebing sungai yang semakin runtuh.

"Malah, ketika ombak melanda sungai ini, airnya turut melimpah bersama sampah sarap.

"Hampir 15 meter tebing sungai sudah terhakis dan masalah ini pernah dimaklumkan kepada pihak berwajib, namun hingga sekarang tiada tindakan diambil.

"Kami merayu dan menyeru pihak bertanggungjawab supaya membina benteng pencegah hakisan di kawasan ini kerana bimbang keselamatan penduduk yang tinggal sepanjang sungai terancam pada masa akan datang," katanya.

Berita Harian X