Rabu, 22 Disember 2021 | 1:11pm
Sebanyak 10 sungai utama di Pahang masih merekodkan paras air bahaya setakat jam 12 tengah hari tadi. - Foto NSTP
Sebanyak 10 sungai utama di Pahang masih merekodkan paras air bahaya setakat jam 12 tengah hari tadi. - Foto NSTP

10 sungai di Pahang terus catat paras air bahaya

KUALA LUMPUR: Sebanyak 10 sungai utama di Pahang khususnya di daerah Kuantan, Maran, Bera dan Temerloh masih merekodkan paras air bahaya setakat jam 12 tengah hari tadi.

Berdasarkan kemaskini terkini portal Public Info Banjir setakat jam 12 tengah hari, Sungai Pahang di Paya Gintong, Jerantut merekodkan bacaan 47.58 meter, melepasi paras bahaya 45 meter, manakala Sungai Pahang di Kuala Krau, Temerloh merekodkan bacaan 42.8 meter melepasi paras bahaya 40 meter.

Selain itu, Sungai Pahang di Temerloh (Lubuk Pasu); Sungai Pahang di Water Front dan Sungai Bera di Jam, Bera; Sungai Jengka di Jam Kampung Awah, Sungai Kundang, Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran; Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan serta Sungai Kuantan di Pasir Kemudi, Kuantan.

Sementara lima sungai merekodkan paras amaran membabitkan Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, Kuantan; Sungai Pahang di Paloh Inai, Pekan; Sungai Serting di Jam Padang Gudang, Bera; Sungai Triang di Taman Agropolitan Chemomoi,Bentong serta Sungai Pahang di Sungai Yap di Jerantut.

Sembilan sungai pula, termasuk Sungai Tanum di Jam Chegar Perah, Lipis; Sungai Tembeling di Kampung Merting, Jerantut; Sungai Dong di Kampung Peruas, Raub; Sungai Jengka di Kampung Jengka Batu 13, Maran dan Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, Kuantan merekodkan paras waspada.

Media hari ini melaporkan, meskipun cuaca baik dua hari berturut-turut, jumlah mangsa banjir di Pahang terus meningkat mencecah 42,529 penduduk setakat jam 8 pagi tadi yang dipindahkan ke 281 pusat pemindahan sementara (PPS) di semua daerah kecuali Rompin dan Cameron Highlands.

Jumlah mangsa di daerah Kuantan, Temerloh dan Bera meningkat mendadak dengan mangsa paling ramai di Kuantan membabitkan 21,837 penduduk daripada 5,866 keluarga yang kini ditempatkan di 68 PPS.

Di Temerloh, sebanyak 76 PPS dibuka menempatkan 10,204 keluarga, manakala di Bera pula, 18 PPS dibuka menempatkan 1,868 mangsa daripada 530 keluarga.

Lipis pula merekodkan 1,628 mangsa daripada 570 keluarga di 29 PPS, Jerantut dengan 1,851 mangsa daripada 510 keluarga di 29 PPS dan Raub dengan 1,315 mangsa daripada 345 keluarga di 20 PPS.

Di Pekan, 379 keluarga dipindahkan membabitkan 1,277 mangsa yang ditempatkan di 20 PPS, manakala di Bentong, seramai 1,755 orang daripada 435 keluarga dipindahkan ke tiga PPS dan di Maran pula, 14 PPS dibuka menempatkan 499 mangsa.

Berita Harian X