Rabu, 22 Disember 2021 | 12:44pm
Kemaskini terkini portal Public Info Banjir setakat jam 11.45 pagi, menunjukkan Sungai Klang masih merekodkan paras normal.- Foto Bernama
Kemaskini terkini portal Public Info Banjir setakat jam 11.45 pagi, menunjukkan Sungai Klang masih merekodkan paras normal.- Foto Bernama

Tiada arahan berpindah, penduduk diminta waspada

KUALA LUMPUR : Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor belum mengeluarkan sebarang arahan berpindah setakat tengahari ini, khususnya kepada penduduk di kawasan berisiko banjir susulan laporan mengenai kenaikan paras air di Sungai Klang pagi tadi.

Bagaimanapun, Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya sentiasa memantau keadaan di lokasi berisiko banjir ini, selain meminta penduduk juga lebih berwaspada.

"Belum (keluar arahan pindah). Pemantauan berterusan (oleh Bomba)," katanya ringkas ketika dihubungi BH, hari ini.

Terdahulu, media sosial dipenuhi perkongsian dari warga net mengenai paras air Sungai Klang yang naik menyebabkan penduduk di beberapa kawasan berisiko khususnya di sekitar Puchong, sudah mengambil langkah waspada dengan kemungkinan untuk berpindah.

Satu video juga tular pagi tadi mengenai keadaan arus deras di Sungai Klang, yang turut menyaksikan beberapa kawasan terjejas sebelum ini, sudah kembali dinaiki air.

Beberapa laluan juga terjejas pagi tadi, susulan peningkatan paras air sungai disebabkan hujan malam tadi, khususnya di susur masuk Tol PLUS Bukit Jelutong di Shah Alam, yang dinaiki air menyebabkan kesesakan berlaku dilaluan keluar masuk tol berkenaan.

Sementara itu, pemantauan paras air sungai di portal Public Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) setakat jam 12 tadi menunjukkan, hanya Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat merekodkan paras bahaya, dengan paras air direkodkan setinggi 4.64 meter, melepasi paras bahaya iaitu 4.20 meter.

Selain itu, Sungai Selangor di Kampung Asahan, Kuala Selangor pula merekodkan paras amaran selepas mencatatkan bacaan 3.44 meter menghampiri paras bahaya iaitu 3.54 meter.

Tujuh sungai di Selangor juga diletakkan dibawah paras waspada iaitu membabitkan Sungai Kuang di Kampung Melayu Seri Kundang, Gombak; Sungai Langat di TNB Pangsun dan Sungai Langat di JPS Sungai Manggis, Hulu Langat; Sungai Bernam di Jambatan SKC, Hulu Selangor serta Sungai Selangor di Rantau Panjang, Kuala Selangor.

Tiga lagi sungai di Sungai Buloh di Parit Mahang, Kuala Selangor; Sungai Bernam di Rimba KDR, Sabak Bernam serta Sungai Langat di Dengkil, Sepang.

Sementara, tiga sungai utama Sungai Klang iaitu Sungai Klang di Taman Sri Muda, Sungai Rasau di Tugu Keris dan Sungai Klang di Bandar Klang, masih merekodkan paras normal berdasarkan kemaskini terkini portal Public Info Banjir setakat jam 11.45 pagi tadi.

Berita Harian X