Selasa, 21 Disember 2021 | 7:21pm
UDA berkolaborasi dengan AnCasa Hotels & Resorts menyalurkan 600 bakul makanan di beberapa PPS di Dengkil, Gombak, Shah Alam, Kuala Langat dan Hulu Langat. FOTO UDA
UDA berkolaborasi dengan AnCasa Hotels & Resorts menyalurkan 600 bakul makanan di beberapa PPS di Dengkil, Gombak, Shah Alam, Kuala Langat dan Hulu Langat. FOTO UDA

UDA sumbang RM50,000 bantu mangsa banjir

KUALA LUMPUR: UDA Holdings Berhad (UDA) tampil menyalurkan sumbangan berjumlah RM50,000 berupa pek makanan serta barang keperluan asas kepada komuniti terjejas banjir di beberapa kawasan sekitar Lembah Klang.

Pengerusi UDA, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, inisiatif ini adalah tanda UDA peka dan prihatin dengan komuniti terkesan akibat banjir tidak dijangka sekitar Lembah Klang.

"Bantuan kecil ini diharap sedikit sebanyak meringankan beban mangsa banjir, seterusnya memulihkan semangat mereka. Marilah kita sama-sama membantu sebagai Keluarga Malaysia," katanya, hari ini.

UDA turut menyerahkan 1,000 pek makanan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Serai bagi membantu sebahagian kumpulan terjejas di Hulu Langat termasuk kakitangan UDA yang tinggal di daerah itu.

Pek nasi berlauk itu disediakan dengan kadar segera oleh AnCasa Hotels & Resorts bagi memastikan mereka dapat menikmati hidangan makan malam.

UDA turut menyalurkan 600 bakul makanan merangkumi bahan asas kering seperti mi segera, beras, telur, roti dan kaya ke beberapa PPS di Seremban, Dengkil, Shah Alam, Gombak dan Kuala Langat.

UDA menerusi anak syarikat UDA Dayaurus Sdn Bhd turut menghulurkan bantuan tenaga kerja seramai 10 kakitangan membantu membersihkan rumah terjejas banjir di kawasan Kuala Langat.

Berita Harian X