Selasa, 21 Disember 2021 | 1:14pm
Penduduk keluar menaiki sampan sendiri untuk mengambil bantuan makanan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, hari ini. - NSTP/Aswadi Alias
Penduduk keluar menaiki sampan sendiri untuk mengambil bantuan makanan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, hari ini. - NSTP/Aswadi Alias

UTHM sedia gerak 300 pelajar bantu mangsa bah Selangor

BATU PAHAT: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) akan menggerakkan 300 pelajar di bawah misi bantuan banjir untuk membantu mangsa bencana berkenaan di Selangor.

Penyelaras misi berkenaan, Khalid Isa berkata, UTHM akan menggerakkan sukarelawan pelajar bagi memberikan bantuan kepada penduduk yang terjejas.

"Misi bantuan berkenaan melibatkan kawasan Shah Alam, Hulu Langat dan Klang yang terjejas teruk akibat banjir 19 Disember lalu. Sebagai langkah awal, UTHM menghantar tiga skuad peninjau bagi mengenal pasti lokasi terjejas di tiga daerah berkenaan sebelum menggerakkan sukarelawan UTHM ke lokasi berkaitan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khalid berkata, kumpulan pertama sukarelawan UTHM dijangka memulakan misi bantuan pada 23 Disember ini dengan melakukan kerja-kerja pembersihan di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti.

"UTHM turut melancarkan Tabung Misi Bantuan Mangsa Banjir bagi mengumpul dana dan sumbangan keperluan asas, air mineral dan makanan ringan. Sumbangan berkenaan adalah daripada warga universiti dan orang ramai bagi membantu meringankan beban mangsa terlibat," katanya.

Katanya, misi bantuan berkenaan akan fokus kepada penghantaran sukarelawan bagi kerja-kerja pembersihan dan memberikan bantuan keperluan asas harian kepada mangsa banjir terutama membabitkan keluarga pelajar UTHM yang terjejas.

Berita Harian X