Isnin, 20 Disember 2021 | 9:15pm
Mohd Shahrin (dua dari kanan) bersama ahli keluarga menyelamatkan diri selepas terperangkap dalam rumah selama dua hari di Taman Sri Muda, Seksyen 25, hari ini. - Foto SHAHRIN REDZUAN MOHD ROSLAN
Mohd Shahrin (dua dari kanan) bersama ahli keluarga menyelamatkan diri selepas terperangkap dalam rumah selama dua hari di Taman Sri Muda, Seksyen 25, hari ini. - Foto SHAHRIN REDZUAN MOHD ROSLAN

Penduduk terperangkap dua hari

SHAH ALAM: "Lega rasanya apabila dapat keluar selepas dua hari terperangkap dalam rumah," kata Mohd Shahrin Redzuan Mohd Roslan, 27.

Mohd Shahrin seorang mangsa banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini yang terperangkap bersama keluarga, sejak kelmarin.

Mereka berjaya keluar dari rumah bersama ahli keluarga di taman sama dengan menaiki bot sukarelawa pada 8.30 pagi tadi.

Berkongsi detik itu, Mohd Shahrin berkata, dia menyedari air naik pada 5 petang dan setengah jam kemudian keluar meninjau di sekitar lorong rumah.

"Sepanjang 20 tahun tinggal di taman perumahan ini, tak pernah air hingga ke betis. Biasanya naik sampai ke buku lali saja.

"Pada hari kejadian saya pulang untuk membantu keluarga menyelamatkan dokumen peribadi dan perkakas elektrik.

"Malangnya, tiga kereta milik saya, isteri dan ibu, Norhayati Abdullah, 51, tenggelam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Shahrin berkata, dia sekeluarga berada di tingkat dua dalam keadaan sehelai sepinggang selepas bahagian bawah dinaiki air, selain bekalan elektrik turut dipotong.

Katanya, semalam air mulai surut dan dia serta adik lelaki, Muhammad Faez Shazwan, 24, mengambil inisiatif menendang jeriji tingkap di tingkat dua bagi meminta pertolongan.

"Saya jangka ada yang selamatkan kami dan hanya mampu berdoa kepada Allah SWT. Dalam masa sama, saya meminta isteri untuk menggunakan laman sosial bagi mendapatkan bantuan.

"Alhamdulillah, hari ini sebuah bot sukarelawan dari Melaka datang menyelamatkan kami.

"Saya sekeluarga berjaya keluar dari rumah bersama keluarga ibu saudara yang tinggal di belakang rumah kami.

"Kami lapar dan tidur tidak menentu. Syukur Allah SWT memudahkan urusan kami," katanya.

Mohd Shahrin berkata, buat masa ini dia sekeluarga menumpang buat sementara waktu di rumah bapa saudaranya di Jalan Kebun, Klang.

Berita Harian X