Isnin, 20 Disember 2021 | 11:46am
Keadaan Taman Eko Hutan Rimba Jeram Toi, Jelebu yang mengalami kerosakan akibat banjir susulan hujan lebat.- Foto ihsan pembaca
Keadaan Taman Eko Hutan Rimba Jeram Toi, Jelebu yang mengalami kerosakan akibat banjir susulan hujan lebat.- Foto ihsan pembaca

Aktiviti pendakian, hutan lipur di Negeri Sembilan ditutup

SEREMBAN: Semua taman eko rimba dan kawasan pendakian dalam hutan simpanan kekal di Negeri Sembilan ditutup berkuatkuasa hari ini susulan bencana banjir yang berlaku.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, Saleh Awaluddin, berkata kerajaan Negeri Sembilan sudah mengarahkan semua hutan lipur ditutup sementara.

"Ia memandangkan keadaan cuaca yang berterusan hujan manakala untuk kes di Taman Eko Hutan Rimba Jeram Toi, Jelebu pihak jabatan sedang menilai kerosakan disebabkan kejadian tanah runtuh yang merosakkan beberapa infrastruktur sedia ada di sana.

"Orang ramai dinasihatkan tidak mendekati semua kawasan hutan lipur dan kawasan pendakian buat masa ini sehingga dimaklumkan oleh pihak jabatan," katanya, hari ini.

Katanya, penutupan itu berikutan terdapat risiko seperti tanah runtuh, pokok tumbang dan kepala air.

Saleh berkata, sebelum ini jabatan sudah mengambil tindakan menutup Hutan Simpan Kenaboi atas faktor cuaca, selain semua kawasan seperti gunung, bukit dan hutan yang memerlukan permit untuk memasukinya turut ditutup," katanya.

"Tarikh pembukaan semula semua aktiviti berkaitan akan dimaklumkan selepas ini," katanya.

Semalam, tular di laman sosial Facebook gambar terkini di Taman Eko Rimba Jeram Toi, Jelebu yang mengalami kerosakan akibat banjir susulan hujan lebat.

Berita Harian X