Ahad, 19 Disember 2021 | 9:07pm
Tinjauan bersama Unit Udara PDRM di kawasan terjejas banjir di Shah Alam. - NSTP/ASYRAF HAMZAH
Tinjauan bersama Unit Udara PDRM di kawasan terjejas banjir di Shah Alam. - NSTP/ASYRAF HAMZAH

'Hujan semalam sama dengan taburan purata sebulan'

KUALA LUMPUR: Hujan lebat berterusan dalam tempoh 24 jam sejak lewat malam Jumaat menyamai jumlah taburan purata hujan di Lembah Klang untuk tempoh sebulan.

Malah, apa yang berlaku umpama fenomena yang berlaku sekali dalam 100 tahun.

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang, berkata fenomena berkenaan berlaku susulan faktor luruan monsun dan sistem cuaca tekanan rendah yang mencapai tahap lengkukan tropika terbentuk di Laut Cina Selatan yang dikesan pada 12 Disember lalu oleh Jabatan Meteorologi.

Pada 16 Disember, katanya, sistem itu memasuki Pahang dan bergerak merentasi kawasan barat Semenanjung, menyebabkan peningkatan kelembapan sehingga mengakibatkan hujan lebat berterusan di hampir semua negeri di Semenanjung.

"Ini adalah kelainan kerana kebiasaannya pada musim tengkujuh hanya negeri di Pantai Timur mengalami hujan lebat, tetapi kini seluruh Semenanjung terutama di pantai timur tengah dan utara Semenanjung turut mengalami hujan lebat berterusan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, purata taburan hujan sebulan di Lembah Klang ialah 200 milimeter (mm), namun semalam sahaja purata taburan hujan tinggi direkodkan di stesen Sentul ialah 363 mm, Gombak 247 mm, Jinjang 258 mm dan Sungai Bonus Jalan Tun Razak 273 mm.

"Taburan hujan setahun di Kuala Lumpur ialah 2,400 mm dan ini bermakna taburan hujan semalam melebihi jumlah taburan hujan untuk sebulan.

"Ini sesuatu di luar jangkakan dan hanya berlaku dalam 100 tahun sekali," katanya.

Beliau berkata, keadaan hujan lebat yang melanda sejak Jumaat lalu diramal berakhir berikutan sistem cuaca tekanan rendah yang berada di Selat Melaka mula bergerak menjauhi negara dan menuju ke Laut Andaman.

"Berdasarkan analisis model cuaca terkini taburan hujan akan berkurangan hari ini dan bagaimanapun masih ada kawasan mengalami cuaca lembab sepanjang hari," katanya.

Banjir melanda Lembah Klang sejak semalam susulan hujan lebat berterusan menyebabkan ribuan penduduk dipindahkan manakala ramai pengguna jalan raya terkandas akibat laluan terjejas kerana dinaiki air.

Banjir turut dilaporkan berlaku di Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan dan Perak. – BERNAMA

Berita Harian X