Ahad, 19 Disember 2021 | 4:08pm
Kampung Seri Damai, Kuantan antara kawasan yang teruk dilanda banjir. - Foto NSTP/Farizul Hafiz
Kampung Seri Damai, Kuantan antara kawasan yang teruk dilanda banjir. - Foto NSTP/Farizul Hafiz

Lega dengar deringan telefon selepas 12 jam terperangkap

KUANTAN: Deringan telefon pada 1 tengah hari tadi, menjadi perkara paling dinanti penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Hani Sofea Mohd Yusof, selepas beliau bersama 13 ahli keluarganya terperangkap banjir selama lebih 12 jam.

Hani Sofea, 19, berkata panggilan itu datang daripada anggota tentera yang meminta mereka sekeluarga untuk menjerit bagi 'memandu arah' pasukan penyelamat, yang difahamkan sudah beberapa kali meronda Taman Seroja, Bentong namun gagal menjumpai rumah mereka.

"Tidak lama kemudian, kami mendengar suara memanggil kami untuk sedia berpindah. Alhamdulillah, Allah saja yang tahu leganya perasaan, kerana kami mulai kepenatan kerana tidak tidur sejak rumah dinaiki air jam 12 tengah malam tadi.

"Disebabkan kami ramai, tentera terpaksa membuat tiga kali perjalanan...sudah tentu kami dahulukan nenek berusia 80 tahun yang lumpuh dan kakak serta kakak ipar yang memangku anak masing-masing berusia 10 dan enam bulan," katanya kepada Bernama semasa dihubungi di sini, hari ini.

Mereka dibawa ke Dewan Arena Bentong yang dijadikan pusat pemindahan sementara bagi mangsa daerah Bentong.

Hani Sofea berkata, ini kali pertama rumah yang didiami bersama ibu bapanya, abang dan abang ipar, serta seorang pembantu rumah dilanda banjir seteruk itu, sehingga menyebabkan bahagian tingkat bawah ditenggelami air.

Kali terakhir dia berhadapan banjir ialah 10 tahun lepas, namun semasa itu air hanya pada paras betis.

"Air naik dengan cepat dan kami tak dapat menyelamatkan banyak barang, kerana bekalan elektrik sudah terputus. Bila semua sudah berkumpul di bahagian atas, kami cuma berjimat bateri telefon bimbit dengan bergilir-gilir menyalakan lampu, selain menggunakan sebuah lampu picit.

"Banyak kali kami menghubungi talian kecemasan, namun mereka meminta maaf kerana terlalu banyak bantuan sedang diperlukan dan mungkin bantuan kepada kami lewat... sedih ketika mendengar jawapan itu.

"Namun saya dan kakak tetap mencuba menghubungi mereka lagi, selain meminta bantuan di media sosial sebagai ikhtiar," katanya.

Bagi pekerja Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) Mohd Aizuddin Alam Shah, 33, tindakan pertama yang dilakukannya apabila melihat air mulai naik mendadak ialah memindahkan isteri dan tiga anak berusia tujuh, enam dan empat tahun ke bahagian atas loji, supaya mereka 'dapat bertahan' jika paras banjir terus meningkat.

Air, menurutnya naik terlalu pantas kerana dia baru mengalihkan kereta dan motosikal ke tempat tinggi pada jam 11 malam dan setengah jam kemudian, air di rumahnya sudah di paras dada menyebabkan dia tahu kenderaan miliknya sudah ditenggelami banjir.

"Kami memang tinggal sehelai sepinggang...sejuk kerana kebasahan semasa meredah air (ke loji). Isteri cuba meminta bantuan di media sosial kerana bimbang jika kami tidak dijumpai. Akhirnya jam 8 pagi tadi, kami melihat bot bomba meronda dan terus menjerit untuk menumpang keluar.

"Sampai di medan selera Karak, saya dan isteri berpecah cuba mencari pakaian kering kerana anak sudah kesejukan. Alhamdulillah ada yang baik hati juga memberi makan," katanya.

Sementara itu, hasrat guru Norazana Saaban, 38, untuk berpindah ke rumah pertamanya di Taman Perumahan PR1MA Karak Setia, Bentong minggu depan tidak kesampaian, apabila rumah itu dinaiki air sehingga ke bumbung.

Norazana berkata kunci rumah itu baru diterimanya pada 26 Ogos, dan sejak itu sudah mula membuat ubah suai dan membeli perabot secara beransur-ansur.

"Saya ke situ semalam dan semasa pulang pada 4 petang, semuanya baik walaupun hujan... tak sangka jam 12 tengah malam, kumpulan WhatsApp taman perumahan mula dihujani dengan mesej jiran mengatakan air sudah naik, dan tahu-tahu sahaja sudah ada yang berlindung di bumbung rumah menunggu bantuan," katanya.

– BERNAMA

Berita Harian X