Ahad, 19 Disember 2021 | 1:13pm
Kit ujian kendiri (RTK Antigen) yang tidak mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA). - Foto fail NSTP
Kit ujian kendiri (RTK Antigen) yang tidak mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA). - Foto fail NSTP

MDA jejaki kit ujian kendiri COVID-19 tak sah

PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) sedang menjalankan siasatan bagi menjejaki pihak yang terbabit menjual dan mengedar kit ujian kendiri COVID-19 yang tidak mendapat kelulusannya.

Ketua Eksekutif MDA, Ahmad Shariff Hambali, berkata berdasarkan pemantauan yang dijalankan, terdapat beberapa kit ujian kendiri yang tidak mendapat kelulusan, disyaki dibawa masuk secara tidak sah ke pasaran Malaysia.

Berikutan itu, katanya, bagi meningkatkan keberkesanan kawalan kit ujian kendiri COVID-19 ini, MDA turut menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Kastam dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi urusan pemantauan dan penguatkuasaan pengimportan, pengedaran dan penjualan kit ujian kendiri COVID-19.

Beliau berkata, sehingga 14 Disember lalu, MDA sudah menjalankan 132 pemeriksaan ke atas premis yang mengedar dan menjual kit ujian kendiri COVID-19.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 92 amaran diberikan kepada pihak yang melanggar undang-undang di bawah seksyen 5 atau 15 Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737).

"Melalui pemeriksaan itu, sebanyak 326 unit kit ujian kendiri COVID-19 dirampas. MDA juga menjalankan tiga serbuan ke atas syarikat yang mengimport dan memasarkan kit ujian kendiri COVID-19 yang tiada kelulusan serta merampas 63,651 unit kit ujian berkenaan.

"Mengikut peruntukan Akta 737, mereka yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM200,000 atau dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya," katanya.

Sebelum ini, BH melaporkan beberapa jenama kit ujian kendiri COVID-19 yang tidak mendapat kelulusan MDA dijual secara berleluasa di kedai serbaneka dan platform e-dagang.

Lambakan produk tanpa kelulusan itu dikhuatiri boleh menyebabkan peningkatan penularan COVID-19 berikutan keputusan ujian yang diragui.

Ini kerana hasil ujian yang dijalankan terhadap kit berharga RM4.90 itu yang menggunakan air paip mendapat keputusan yang negatif, walaupun sepatutnya keputusan yang akan diterima adalah tidak sah atau 'invalid'.

Ahmad Shariff berkata, prestasi dan keberkesanan kit ujian kendiri COVID-19 amat penting dalam usaha membendung penularan virus itu.

Katanya, syarikat yang mendapat kelulusan untuk meletakkan kit ujian COVID-19 dalam pasaran perlu memenuhi keperluan pelabelan dan keperluan pasca pasaran, termasuk

pengendalian aduan, penyimpanan dan penyelenggaraan rekod pengedaran.

"Mereka juga bertanggungjawab mengambil tindakan pembetulan dan pencegahan, termasuk membuat panggilan balik (recall, ke atas kit ujian yang bermasalah di pasaran," katanya.

Selain itu, beliau meminta orang ramai untuk menyalurkan aduan mengenai sebarang aktiviti berkaitan pengimportan, pengedaran dan penjualan kit ujian kendiri COVID-19 yang tidak sah melalui sistem pengurusan maklum balas https://femes.mda.gov.my/.

Berita Harian X