Sabtu, 18 Disember 2021 | 4:32pm
Penduduk mengharung air di halaman rumah di Kampung Telok Berembang, Lubok Cina dekat Masjid Tanah. - Foto NSTP/HASSAN OMAR
Penduduk mengharung air di halaman rumah di Kampung Telok Berembang, Lubok Cina dekat Masjid Tanah. - Foto NSTP/HASSAN OMAR

Kawasan banjir diberi perhatian segera - Sulaiman

MASJID TANAH: Kerajaan negeri mengenal pasti 20 kawasan banjir yang perlu diberikan perhatian segera.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, berkata semua tempat berkenaan akan diberi keutamaan menerusi kerja tebatan banjir seperti mendalamkan sungai serta kuala, selain pembersihan di beberapa pusat takungan dan laluan air.

Katanya, kajian bebas banjir juga diadakan baru-baru ini dan akan dilaksanakan segera sebaik menerima peruntukan daripada kerajaan Pusat.

"Memanglah, semua tempat juga penting, tetapi lokasi yang kerap dinaiki air akan diberi keutamaan terlebih dahulu.

"Kerangka untuk menyalurkan air dan pengambilan tanah (bagi projek mengatasi banjir) yang dikenal pasti akan dilaksanakan secepat mungkin.

"Kerajaan negeri berjanji akan buat sebaik mungkin bagi mengatasi isu ini. Cuma bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan peruntukan besar dan akan mengambil sedikit masa untuk melaksanakannya," katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah di sini, hari ini.

Mengulas banjir di Lubok China, Sulaiman berkata, pihaknya sudah mengarahkan Pejabat Daerah Alor Gajah serta pihak berkuasa tempatan untuk mengambil tindakan dengan segera.

Sehingga jam 12 tengah hari tadi, lima pusat pemindahan sementara dibuka di Alor Gajah dan Melaka Tengah membabitkan 54 keluarga dengan 225 mangsa banjir.

Masjid al-Wakil di tengah pekan Lubok Cina, Masjid Tanah dinaiki air. - Foto NSTP/HASSAN OMAR
Masjid al-Wakil di tengah pekan Lubok Cina, Masjid Tanah dinaiki air. - Foto NSTP/HASSAN OMAR

Berita Harian X