Sabtu, 18 Disember 2021 | 1:53pm
Balai Polis Lubok Cina ditenggelami air. FOTO NSTP/HASSAN OMAR
Balai Polis Lubok Cina ditenggelami air. FOTO NSTP/HASSAN OMAR

Balai Polis Lubok Cina, jentera bomba tenggelam

MASJID TANAH: Hujan lebat berterusan sejak semalam dan peningkatan mendadak air Sungai Rembau menyebabkan Balai Polis Lubok Cina dan sebuah jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ditenggelami air.

Balai polis dan jentera berkenaan dinaiki air mulai jam 5 pagi tadi selepas Sungai Rembau yang kira-kira 100 meter dari bangunan dan jentera berkenaan melimpah ke daratan.

Melalui hantaran dalam Facebook Polis Alor Gajah, balai polis berkenaan dinaiki air berikutan hujan lebat sejak petang semalam.

Yunuslie Julius, 28, diberi rawatan awal selepas kepingan konkrit terjatuh ke atas kepalanya ketika memadam kebakaran di sebuah kilang pemetik api di Seksyen 22, Shah Alam, hari ini. - Foto BOMBA
Yunuslie Julius, 28, diberi rawatan awal selepas kepingan konkrit terjatuh ke atas kepalanya ketika memadam kebakaran di sebuah kilang pemetik api di Seksyen 22, Shah Alam, hari ini. - Foto BOMBA

Sementara itu, anggota bomba menjalankan gerakan menyelamat mangsa banjir di Kampung Telok Berembang yang enggan identiti didedahkan berkata, jentera berkenaan diletakkan berhampiran balai polis itu awal pagi tadi.

"Semua anggota bomba sibuk menjalankan gerakan menyelamatkan mangsa banjir di beberapa kampung, terutama Kampung Telok Berembang yang paling teruk terjejas.

"Bagaimanapun, apabila mereka kembali ke lokasi jentera itu diletakkan, mereka dapati jentera sudah dinaiki air," katanya.

Setakat jam 12.30 tengah hari ini, air masih belum surut, sekali gus menyebabkan jentera berkenaan masih belum mampu dialihkan.

Peniaga warung di pekan Lubok Cina, Mohd Rozi Khamis, 45, berkata warungnya yang berhampiran balai polis itu dinaiki air pada jam 5 pagi.

"Saya pergi ke warung untuk menyelamatkan 100 doh roti canai tetapi tidak sempat kerana air sudah naik kira-kira 1.5 meter dan saya terkejut apabila mendapati balai polis juga sudah dinaiki air.

"Bagaimanapun, saya diberitahu, semua anggota polis dalam balai berkenaan sudah keluar sebelum air mencecah paras 1.5 meter," katanya.

Berita Harian X