Khamis, 16 Disember 2021 | 7:15pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

AADK benar sesi lawatan khas keluarga ke PUSPEN

KUALA LUMPUR: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) membenarkan sesi lawatan khas keluarga atau penjaga klien yang mengikuti Program Rawatan dan Pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di seluruh negara sempena sambutan Hari Krimas dan Tahun Baharu, selama lima hari mulai 25 Disember ini.

AADK dalam kenyataan berkata, sesi lawatan khas secara bersemuka itu hanya dibenarkan di negeri yang berada dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), manakala negeri yang belum mencapai Fasa 4 PPN hanya dibenarkan pertemuan secara dalam talian.

Katanya, kebenaran bersemuka itu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PPN yang ditetapkan termasuk hanya membenarkan pelawat yang lengkap dua dos vaksin COVID-19 sahaja.

"Setiap keluarga atau penjaga perlu membuat janji temu dengan pihak PUSPEN bagi mengelakkan kesesakan, melancarkan perkhidmatan AADK dan mengelakkan risiko penularan jangkitan wabak COVID-19.

"Permohonan janji temu boleh dibuat menerusi pangggilan telefon; khidmat pesanan ringkas (SMS), pesanan aplikasi WhatsApp; surat atau e-mel kepada Pegawai Pemulihan terbabit," katanya.

Kenyataan itu berkata, sesi lawatan keluarga itu akan memberi ruang dan peluang kepada keluarga atau penjaga dan klien untuk bertemu mesra serta sebagai pendekatan teraputik.

Selain itu katanya, ia juga membantu dan menyokong pengekalan kepulihan klien yang berada dalam pusat itu.

Bagaimanapun, katanya, ketika ini lawatan secara datang terus atau 'walk-in' adalah tidak dibenarkan sama sekali dalam tempoh pandemik ini.

Untuk maklumat lanjut boleh menghubungi PUSPEN atau layari laman web rasmi AADK di www.adk.gov.my.

Berita Harian X