Rabu, 15 Disember 2021 | 3:20pm
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang menjawab soalan pada Pertanyaan-pertanyaan Jawab Lisan sempena Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang menjawab soalan pada Pertanyaan-pertanyaan Jawab Lisan sempena Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA

287 mangsa seks luar tabii babit mangsa bawah 18 tahun

KUALA LUMPUR: Sejumlah 287 mangsa kesalahan seks luar tabii membabitkan mangsa berusia bawah 18 tahun direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh kurang tiga tahun antara 2019 hingga bulan lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata daripada jumlah itu, Selangor mencatat jumlah kes tertinggi dengan 94 kes.

"Ia disusuli Kuala Lumpur dengan 39 kes, Johor (37), Sabah (18), Sarawak (17), Pahang (16), Perak (16), Kedah (13), Pulau Pinang (12), Terengganu (sembilan).

"Selain itu, Negeri Sembilan merekodkan lapan kes, Melaka (lapan), Kelantan (enam) dan Perlis (empat), yang membabitkan keseluruhan 287 kes," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) yang bertanyakan statistik kes kesalahan seks luar tabii membabitkan kanak-kanak dan remaja.

Mengulas lanjut, Siti Zailah berkata, sejumlah 208 kes yang direkodkan dalam tempoh berkenaan adalah membabitkan mangsa berusia di bawah 16 tahun.

"Bagi mangsa berusia 16 hingga 18 tahun pula adalah berjumlah 82 kes, menjadikan keseluruhan kes berjumlah 290 (ada mangsa catat lebih satu kes). Mengenai gender pula, sejumlah 114 mangsa adalah lelaki, dan 176 mangsa adalah perempuan," katanya.

Menjawab soalan asal Wan Hassan yang bertanyakan pelan strategik jangka masa panjang bagi menangani kes rogol bawah umur dan sumbang mahram, Siti Zailah berkata, beberapa pelan strategik jangka masa panjang telah dibangunkan bagi mengatasi isu berkenaan.

Antaranya, beliau berkata, menerusi Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI) yang bermatlamat meningkatkan kesedaran semua pihak termasuk wanita, keluarga, dan kanak- kanak berkaitan pendidikan kesihatan reproduktif dan melahirkan masyarakat yang penyayang, bertanggungjawab serta mengamalkan gaya hidup sihat.

Selain itu, Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur menetapkan komitmen pemegang taruh utama di peringkat kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

"Kementerian juga menubuhkan Pasukan Petugas Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak dan Jawatankuasa Bersepadu Pengurusan Isu-isu Sosial Kanak-kanak di Media Sosial pada Jun lalu.

"Jawatankuasa ini membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan NGO bagi menangani isu keselamatan siber dengan mempergiat advokasi dan intervensi serta menambah baik aspek perundangan dengan menguatkuasakan aspek pengawalan ke atas laman sesawang pornografi kanak-kanak," katanya.

Berita Harian X