Selasa, 14 Disember 2021 | 3:22pm

Patuhi SOP di lokasi pelancongan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) menggesa orang ramai untuk terus memainkan peranan dalam memastikan kawasan tumpuan pelancongan selamat dikunjungi dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata dalam usaha memulihkan ekonomi negara khususnya sektor pelancongan, kehadiran orang ramai adalah satu cabaran besar ketika negara berusaha mengawal wabak COVID-19 ini.

Katanya, bagaimanapun, dari sudut positif ia menunjukkan orang ramai menyahut seruan kerajaan untuk berkunjung di tempat-tempat menarik yang belum pernah dikunjungi di negara ini.

"Walaupun kerajaan aktif mempromosikan pelancongan domestik, dalam masa yang sama penekanan terhadap SOP menjadi keutamaan kerana ia mampu memberi kesan positif terutamanya membabitkan pelancong daripada luar negara.

"Justeru kita juga memohon orang ramai untuk bersama-sama menyuarakan apa saja kemudahan dan perkhidmatan yang perlu diperbaiki oleh kerajaan supaya ia dapat memberikan pengalaman pelancongan terbaik kepada mereka dan pelancong luar," katanya ketika majlis perasmian Tower Walk 100 (TW100) dan sambutan ulang tahun Menara Kuala Lumpur ke 25, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Ainol Shaharina Sahar.

Pada majlis berkenaan, Nancy turut mengambil peluang merasai cabaran berada di laluan Tower Walk 100 itu.

Dalam masa yang sama, Nancy berkata, seiring dengan fokus MOTAC menerusi Dasar Pelancongan Negara 2020-2030, kerjasama dan gandingan mantap semua pihak perlu dilakukan bersama.

"Saya yakin, agenda transformasi industri pelancongan, seni dan budaya yang telah dirancang, pembangunan sektor pelancongan secara lestari dan inklusif serta kesediaan kita dalam mendepani sebarang situasi ketidaktentuan pada masa akan datang, dapat ditempuhi dengan lebih baik menerusi pengukuhan daya saing dan pemulihan industri secara kolektif dan efektif, berteraskan norma baharu.

"Kita perlu yakinkan orang ramai bahawa tempat kita adalah selamat untuk dikunjungi," katanya.

Sementara itu, Ainol Shaharina berkata, TW100 tarikan baharu dengan pengunjung boleh berjalan 360 darjah mengelilingi pelantar pada ketinggian 100 kaki sambil menyaksikan panorama Kuala Lumpur.

"Pengunjung akan dilengkapi dengan 'Harness Safety System' bagi tujuan keselamatan dan harga istimewa ditawarkan kepada warganegara iaitu RM35 untuk dewasa dan RM25 bagi kanak-kanak," katanya.

Berita Harian X