Selasa, 14 Disember 2021 | 12:51pm

Sasar RM800 juta hasil sektor pelancongan kesihatan tahun depan

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan pendapatan langsung sebanyak RM800 juta pada tahun depan dan RM1.7 bilion pada 2025 bagi sektor pelancongan kesihatan menerusi inisiatif yang digariskan di bawah Rangka Tindakan Industri Pelancongan Penjagaan Kesihatan 2021-2025.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata rangka tindakan itu adalah perancangan lima tahun yang antara lain menyasarkan untuk mempertingkat ekosistem pelancongan penjagaan kesihatan, selain usaha memulih dan membangunkan semula industri berkenaan.

Bagi tempoh 2020 hingga kini, sektor pelancongan kesihatan mencatatkan kerugian ketara akibat pandemik COVID-19 disebabkan penutupan pintu sempadan antarabangsa dengan anggaran penurunan pendapatan langsung sebanyak RM2.2 bilion," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) mengenai jumlah kerugian ditanggung sektor pelancongan kesihatan sepanjang tempoh pandemik melanda negara dan usaha Kementerian Kesihatan (KKM) bagi merancakkan semula sektor pelancongan kesihatan.

Dr Noor Azmi berkata, antara inisiatif lain yang dirangka adalah promosi digital dan penjenamaan strategik melalui kempen Malaysia World's Healthcare Marvel, penjenamaan Malaysia sebagai destinasi rawatan bagi program Hab Kesuburan dan Kardiologi Asia dan Pusat Kecemerlangan Penjagaan Kanser.

Selain itu, beliau berkata kerangka digital industri pelancongan kesihatan turut diwujudkan dalam usaha meningkatkan serta memperbaiki pengalaman pelancong kesihatan sepanjang menerima rawatan mereka di negara ini.

Katanya, Malaysia menjadi tumpuan destinasi pelancongan kesihatan khususnya di Asia Pasifik kerana mempunyai kehebatan dalam bidang perubatan dan aspek keselamatan.

Dr Noor Azmi berkata, KKM turut melatih ramai pakar kesihatan bagi menyediakan perkhidmatan terbaik, selain dapat menarik minat dunia. - BERNAMA

Dr Noor Azmi Ghazali.
Dr Noor Azmi Ghazali.
Berita Harian X