Selasa, 14 Disember 2021 | 12:20pm

Bekalan ayam stabil Februari ini

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi jaminan bekalan ayam tempatan dalam pasaran akan stabil menjelang Februari tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata jaminan itu diperoleh pihaknya menerusi sesi libat urus MAFI menerusi Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dengan penggiat industri penternakan ayam tempatan.

Beliau berkata, penggiat industri penternakan ayam tempatan memberikan komitmen untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran selaras dengan permintaan semasa.

"Kekurangan bekalan ayam di pasaran antara lain disebabkan peningkatan permintaan mendadak selepas pembukaan semula sektor ekonomi bermula pada Oktober lalu.

"Bagi mengatasi kekurangan berkenaan, kerajaan memberi kebenaran untuk mengimport ayam bulat sejuk beku sebagai langkah intervensi untuk memastikan bekalan ayam dalam pasaran sentiasa mencukupi dengan harga yang stabil dan berpatutan.

"Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pihak industri mengurangkan pengeluaran ayam tempatan dan keadaan ini menjadi kritikal apabila ekonomi dibuka dan permintaan ayam bertambah.

"Ayam memerlukan dua bulan untuk diternak dan digunakan. Maknanya ada sela dua bulan menyebabkan kekurangan bekalan ayam.

"Sebabkan itu, berdasarkan libat urus kita dengan pihak industri, mereka menyakinkan kita bekalan ayam akan menjadi stabil selepas Februari ini, dengan proses penternakan lebih dilakukan pada ketika ini," katanya pada sesi Soal Jawab Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (BERSATU-Sabak Bernam) yang meminta MAFI menyatakan bekalan ayam di pasaran dan setakat mana langkah mengimport ayam sejuk beku dapat atasi masalah kekurangan bekalan ayam.

Mengulas lanjut, Ronald berkata, purata keperluan ayam dalam negara adalah sebanyak 3,762 tan metrik sehari atau 113,220 tan metrik sebulan.

Katanya, ia bersamaan dengan dua juta ekor ayam sehari atau 62.9 juta ekor sebulan.

"Pengeluaran ayam pada Oktober lalu sebanyak 52.05 juta ekor dan pengeluaran itu menurun kepada 51.4 juta ekor pada November iaitu kekurangan sebanyak 17.73 peratus berbanding keperluan sebenar.

"Unjuran pengeluaran ayam pada bulan Disember 2021 disasarkan sebanyak 61 juta ekor," katanya.

- Hiasan. FOTO NSTP
- Hiasan. FOTO NSTP
Berita Harian X