Isnin, 13 Disember 2021 | 7:32pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC), hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC), hari ini.

Usaha bantu rakyat, perkukuh kewangan kerajaan diteruskan - Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengulangi jaminan usaha membantu seluruh Keluarga Malaysia akan diteruskan di samping memastikan kemampanan kedudukan kewangan kerajaan.

Perdana Menteri berkata, agenda pemulihan mampan akan diselaras dengan inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan semua usaha itu bertumpu kepada pembangunan teknologi tinggi, inovasi dan kemampanan dalam sektor berpotensi pertumbuhan tinggi.

"Semua itu dirangka bagi memangkin ekonomi inklusif dan berdaya saing untuk manfaat Keluarga Malaysia," katanya," katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC), hari ini.

Katanya, FPC berpandangan semakan semula defisit bagi 2021 iaitu 6.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan dapat dicapai dan berdasarkan prospek pemulihan ekonomi lebih baik bagi tahun hadapan serta langkah-langkah Bajet 2022, defisit fiskal disasarkan berkurang kepada 6 peratus daripada KDNK.

Beliau menjelaskan, Kementerian Kewangan akan terus memantau prestasi dan perkembangan berkenaan dan dalam jangka sederhana, kerajaan kekal komited terhadap sasaran defisit seperti yang digariskan di bawah RMK-12, iaitu 3.5 peratus berbanding KDNK pada 2025.

"Ke arah ini, jawatankuasa telah meneliti beberapa cadangan yang akan menambah baik kedudukan kewangan negara dan kemampanan fiskal setelah ekonomi kembali ke trajektori pertumbuhan sebelum pandemik COVID19 melanda negara," katanya.

Ismail Sabri berkata, inisiatif pembaharuan institusi terutama pelaksanaan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA), Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS) dan Kajian Perbelanjaan Awam (PER) adalah langkah dasar utama dalam menyokong usaha berkenaan.

Pada mesyuarat hari ini, FPC antara lain membincangkan agenda merangkumi beberapa perkara berkaitan kedudukan semasa ekonomi dan kewangan Kerajaan Persekutuan, termasuk prestasi terkini kewangan.

Perdana Menteri berkata, berdasarkan prestasi sehingga akhir November lalu, kutipan hasil mencatatkan peningkatan 8.9 peratus kepada RM210.4 bilion, manakala jumlah perbelanjaan meningkat 4.9 peratus kepada RM307.6 bilion.

Berita Harian X