Isnin, 13 Disember 2021 | 2:31pm
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim. - FOTO BERNAMA
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim. - FOTO BERNAMA

Penyelidikan vaksin buatan Malaysia masih peringkat awal

KUALA LUMPUR: Usaha penyelidikan vaksin buatan negara masih pada peringkat awal pembangunan, iaitu bukti konsep (proof of concept), kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Beliau berkata, bagi vaksin 'messenger ribonucleic acid' (mRNA), aktiviti terkini ialah calon vaksin akan menjalani proses 'in vitro transcription' membabitkan pelbagai ujian makmal yang kompleks.

"Seterusnya, aktiviti terkini berkaitan penyelidikan vaksin virus ternyahaktif ialah proses menyahaktif virus yang terpilih dan penambahan bahan khas, iaitu adjuvan untuk meningkatkan tindak balas vaksin," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) berhubung perkembangan terkini vaksin buatan negara jenis mRNA dan peruntukan RM5 juta bagi penyelidikan serta pembangunan (R&D) vaksin yang diberikan kepada Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaya (UM).

Mengulas lanjut, Ahmad Amzad berkata, penyelidikan vaksin COVID-19 jenis mRNA membabitkan penyelidik di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), manakala kerjasama antara IMR, Institut Penyelidikan Veterinar dan UPM membabitkan kajian berkaitan pembangunan vaksin teknologi virus ternyahaktif.

Beliau berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menyalurkan dana bagi membiayai dua projek membabitkan projek 'Construction of Recombinant Newcastle Disease Virus Expressing Receptor Binding Domain (RBD) Protein of Sars-Cov-2 Virus as a Vaccine Candidate' bawah UPM.

Bawah UM pula, projek yang dibiayai ialah 'Development of Modular Mucosal Vaccine Platform Using Generally Regarded as Safe (GRAS) Bacteria Against COVID-19'.

Beliau berkata, kedua-dua projek membabitkan peruntukan berjumlah RM4.9 juta melalui geran MOSTI Combating COVID-19 Fund (MCCOF). – BERNAMA

Berita Harian X