Isnin, 13 Disember 2021 | 12:07pm
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Kraftangan Malaysia, Aididah Ibrahim (kanan sekali) beramah mesra dengan ahli Kumpulan Gendang Warisan Langkawi pada Majlis Perasmian Pesta Muzik Kraf Langkawi 2021 di Kompleks Kraf Langkawi. - Foto HAMZAH OSMAN
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Kraftangan Malaysia, Aididah Ibrahim (kanan sekali) beramah mesra dengan ahli Kumpulan Gendang Warisan Langkawi pada Majlis Perasmian Pesta Muzik Kraf Langkawi 2021 di Kompleks Kraf Langkawi. - Foto HAMZAH OSMAN

Pesta Muzik Kraf Langkawi bakal jadi acara 'signifikan'

LANGKAWI: Pesta Muzik Kraf Langkawi (PMKL) bakal menjadi acara 'signifikan' untuk Kompleks Kraf Langkawi (KKL) di sini, sekali gus muncul produk pelancongan baharu di pulau ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Kraftangan Malaysia, Aididah Ibrahim, berkata acara berkonsepkan 'Alunan Semulajadi' itu diyakini mampu menyemarakkan semula kehebatan alat muzik tradisional.

"Sebagai permulaan, kita anjurkan PMKL 2021 selama sembilan hari di sini, bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat terhadap produk kraf tempatan.

"Kita berjaya menghimpunkan 51 usahawan dan 15 kumpulan serta individu yang aktif dengan muzik kraf dari seluruh negara ke acara ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan PMKL 2021 di KKL di sini, malam tadi.

Aididah berkata, pengunjung turut disajikan persembahan alat muzik kraf termasuk serunai dari Kedah; gambus (Johor); rebana (Perak); sompoton (Sabah) dan sape (Sarawak).

"Acara ini akan dikembangkan termasuk menjadi acara tahunan sebagai acara 'signifikan' di KKL, sebelum ia diketengahkan ke peringkat antarabangsa pada suatu hari nanti.

"Kita sasar 6,000 pengunjung pada acara julung kali ini yang dibuka kepada awam selama sembilan hari berakhir Ahad ini dan masuk adalah percuma," katanya.

Beliau berkata, antara pengisian lain termasuk jualan dan demonstrasi alat muzik kraf, ekplorasi kraf, persembahan pentas dan permainan tradisional.

KKL dibina di atas tapak berkeluasan 12.9 hektar dan letaknya di Jalan Teluk Yu, Mukim Bohor, di sini, dengan operasi bermula sejak 1996.

Kompleks itu turut menjadi lokasi popular dikunjungi pelancong dari dalam dan luar negara untuk mendapatkan produk kraftangan, pada masa sama mempelajari cara untuk menghasilkannya.

Terdapat 15 gerai jualan yang majoritinya menawarkan produk-produk terbaik usahawan kraf tempatan termasuk seramik, batik, ukiran kayu dan kraf kaca kristal buatan Malaysia.

Berita Harian X