Isnin, 13 Disember 2021 | 9:27am
KUALA LUMPUR 11 DISEMBER Pengunjung berkunjung ke ruang pameran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), ketika Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (APM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
KUALA LUMPUR 11 DISEMBER Pengunjung berkunjung ke ruang pameran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), ketika Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (APM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Orang ramai tidak melepaskan peluang mencuba senjata api di gerai pameran Kementerian Pertahanan. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali/BH
Orang ramai tidak melepaskan peluang mencuba senjata api di gerai pameran Kementerian Pertahanan. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali/BH

Jumlah pengunjung luar jangkaan

Kuala Lumpur: Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) mencatatkan jumlah pengunjung di luar jangkaan dengan lebih 70,000 hadir sepanjang empat hari ia berlangsung.

Program kali pertama seumpama ini dilihat berjaya menarik perhatian masyarakat kerana pelbagai perkhidmatan secara langsung ditawarkan, selain peluang menarik disediakan oleh agensi kerajaan yang terbabit.

Pengarah Eksekutif Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU), Wan Azilawati Wan Mahmood, berkata letusan kehadiran pengunjung ke program AKM membuktikan rakyat sentiasa menantikan aktiviti seumpama ini dan menyokong usaha yang dilaksanakan.

Katanya, biarpun ada sedikit kesulitan berlaku pada awalnya kerana kebanjiran pengunjung, ia langsung tidak menghalang pengunjung untuk terus mendapatkan perkhidmatan secara langsung yang ditawarkan sepanjang program itu.

"Program Job Fair yang menawarkan kira-kira 10,000 peluang pekerjaan secara terus kepada yang terpilih menjadi antara faktor penarik ketika ramai yang kehilangan pekerjaan pada hari ini.

"Jom Masuk IPT juga menjadi antara tarikan kerana daripada situ ramai pelajar yang ingin melanjutkan pengajian juga memperoleh pelbagai maklumat terkini," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Program AKM yang diadakan ini sebagai tanda genap tempoh 100 hari pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang merujuk gaya kepemimpinan beliau itu dengan slogan Keluarga Malaysia.

Pengunjung Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia boleh terus membuat semakan saman di kios Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Pengunjung Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia boleh terus membuat semakan saman di kios Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ia juga sempena meraikan kejayaan semua kementerian yang mencapai sasaran Indeks Prestasi Utama (KPI).

Dalam pada itu, beliau berkata, melihat sambutan memberangsangkan ini, SEPADU dijangka akan melaksanakannya dalam siri jelajah ke negeri lain bagi memberi peluang kepada penduduk di luar ibu kota pula.

"Selain mendekati semua agensi kerajaan berkaitan, orang ramai sekali gus boleh menghayati dan menyelami aspirasi dan ilham yang dicetuskan Perdana Menteri menerusi AKM ini.

"Tiga teras yang ditekankan, iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran, itu akhirnya dapat dihayati oleh setiap orang," katanya.

Selain kunjungan secara fizikal, orang ramai juga boleh ke laman sesawang Keluarga Malaysia dan SEPADU untuk melihat pelbagai maklumat yang dikongsikan.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Wira Dr Noor Zari Hamat, berkata MOTAC berjaya mencapai sasaran tiga KPI yang ditetapkan sepanjang tempoh 100 hari pentadbiran Perdana Menteri.

Beliau berkata, pembukaan rentas negeri dengan prosedur operasi standard (SOP) berjaya dicapai dan pemberian rebat untuk menggalakkan pelancongan turut mendapat sambutan memberangsangkan.

"Ketika ini kita masih aktif walaupun sasaran berjaya dicapai dalam mempromosikan pembangunan industri kraf negara demi memperkasakan sosioekonomi rakyat.

"Sepanjang tempoh 100 hari lalu, MOTAC menerusi platform MyCraftShoppe (MCS) berjaya menarik penyertaan kira-kira 160 usahawan kraf berbanding 100 usahawan disasarkan untuk terbabit dalam platform ini.

"Kewujudan MCS sebagai plat- form e-dagang sekali gus menampilkan keupayaan usahawan kraf untuk berniaga dan memperkasakan produk mereka," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ketika ini MOTAC akan terus meluaskan program dan memperkenalkannya pada peringkat usahawan luar bandar supaya mereka dapat menguasai teknologi serta memasarkan produk hingga ke luar negara.

"Saya yakin dalam tempoh terdekat, 6,257 usahawan kraf yang ada akan menyertai platform MCS ini dengan hampir 11,700 tenaga kerja yang ada.

"MOTAC akan memberi latihan dan bimbingan supaya matlamat KPI ini tercapai," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, MOTAC berpuas hati dengan pencapaian 100 hari AKM ini dan kementerian akan sentiasa berkongsi berkenaan perkhidmatan sedia ada dan memberi tawaran hebat untuk menggalakkan pelancongan.

Berita Harian X