Sabtu, 11 Disember 2021 | 6:10pm
Fadillah berucap pada majlis taklimat rancangan tebatan banjir Sarawak (Kota Samarahan) di Auditorium JPS Sarawak di sini, hari ini. - Foto BERNAMA
Fadillah berucap pada majlis taklimat rancangan tebatan banjir Sarawak (Kota Samarahan) di Auditorium JPS Sarawak di sini, hari ini. - Foto BERNAMA

Kerajaan percepat projek tebatan banjir di Kota Samarahan

KOTA SAMARAHAN: Kerajaan akan mempercepat pembinaan projek tebatan banjir dan menaik taraf sistem perparitan di bandar ini yang dijangka bermula pada suku pertama tahun depan.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusuf, berkata projek bernilai RM30 juta itu akan dilaksana dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA).

Beliau berkata, ia perlu dipercepat bagi mengatasi masalah banjir, terutama di kawasan perumahan Taman Uni Garden, Taman Samarindah dan Sekolah Kebangsaan (SK) Muara Tuang jika berlaku hujan berpanjangan.

"Segala perancangan ini kita akan laksanakan pada tahun depan. Itu matlamat dan harapan mereka (penduduk), juga supaya kita akan dapat memastikan peruntukan ini dan lantikan kontraktor serta konsultan akan dipercepat.

"Sama ada peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan negeri, ini harapan penduduk di sini. Insya-Allah, saya datang ke sini untuk memberi komitmen kepada mereka dan saya akan membawa harapan mereka ini ke peringkat kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan," katanya.

Fadillah berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Taklimat Rancangan Tebatan Banjir Kota Samarahan di Auditorium JPS Bahagian Samarahan hari ini.

Beliau berkata, JPS akan mendapatkan pemilikan 6.8 hektar tanah untuk dijadikan kolam tadahan bagi mengawal limpahan air ketika hujan lebat di Taman Samarindah dan SK Muara Tuang.

"Projek ini akan membabitkan pembinaan kolam di Taman Samarindah dan SK Muara Tuang sebagai tempat limpahan air hujan, manakala di kawasan Taman Uni Garden lebih kepada projek pembesaran perparitan," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X