Sabtu, 11 Disember 2021 | 3:37pm
Pengunjung mengambil peluang melakukan pemeriksaan kesihatan di kiosk Kementerian kesihatan Malaysia (KKM) dalam program Aspirasi Keluarga Malaysia (APM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Pengunjung mengambil peluang melakukan pemeriksaan kesihatan di kiosk Kementerian kesihatan Malaysia (KKM) dalam program Aspirasi Keluarga Malaysia (APM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Program Aspirasi Keluarga Malaysia terima sambutan luar jangka

KUALA LUMPUR: Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) mencatatkan jumlah pengunjung di luar jangkaan dengan lebih 70,000 orang hadir sepanjang empat hari berlangsung.

Program julung kali itu berjaya menarik kehadiran orang ramai menerusi tawaran pelbagai perkhidmatan secara langsung selain banyak peluang menarik disediakan agensi kerajaan.

Pengarah Eksekutif Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU), Wan Azilawati Wan Mahmood, berkata kehadiran pengunjung ke program AKM membuktikan rakyat sentiasa menantikan program seumpama itu.

Katanya, biarpun terdapat sedikit kesulitan pada awal program berikutan kebanjiran pengunjung, namun ia langsung tidak menghalang pengunjung untuk terus mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan.

"Program Job Fair yang menawarkan kira-kira 10,000 peluang pekerjaan secara terus kepada yang terpilih menjadi antara faktor penarik ketika

ramai yang kehilangan pekerjaan pada hari ini.

"Jom Masuk IPT juga menjadi antara tarikan kerana dari situ ramai pelajar yang ingin melanjutkan pengajian juga dapat memperoleh pelbagai maklumat terkini," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Program AKM sebagai tanda genap 100 hari pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan slogan Keluarga Malaysia.

Ia juga sempena meraikan kejayaan semua kementerian yang mencapai sasaran Indeks Prestasi Utama (KPI).

Dalam pada itu, beliau berkata, melihat sambutan memberangsangkan, SEPADU dijangka akan melaksanakannya dalam siri jelajah ke negeri lain bagi memberi peluang kepada penduduk di luar ibu negara.

"Selain mendekati semua agensi kerajaan berkaitan, orang ramai juga boleh menghayati dan menyelami aspirasi dan ilham dicetuskan Perdana Menteri menerusi AKM ini.

"Tiga teras yang ditekankan iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran itu akhirnya dapat dihayati oleh setiap orang," katanya.

Selain pengunjung fizikal, orang ramai juga boleh berkunjung ke laman sesawang Keluarga Malaysia dan SEPADU.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Wira Dr Noor Zari Hamat, berkata MOTAC berjaya mencapai sasaran tiga KPI yang ditetapkan sepanjang tempoh 100 hari pentadbiran Perdana Menteri.

Beliau berkata, pembukaan rentas negeri dengan prosedur operasi standard (SOP) berjaya dicapai dan pemberian rebat untuk menggalakkan pelancongan turut mendapat sambutan memberangsangkan.

"Ketika ini kita masih aktif lagi walaupun sasaran sudah berjaya dicapai dalam mempromosikan pembangunan industri kraf negara demi memperkasakan sosioekonomi rakyat.

"Sepanjang tempoh 100 hari lalu, MOTAC menerusi platform MyCraftShoppe (MCS) berjaya menarik penyertaan kira-kira 160 usahawan kraf berbanding 100 usahawan disasarkan untuk terbabit dalam platform ini.

"Kewujudan MCS sebagai platform e-dagang sekali gus menampilkan keupayaan usahawan kraf untuk berniaga dan memperkasakan produk mereka," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, MOTAC akan terus meluaskan program dan memperkenalkannya di peringkat usahawan luar bandar supaya mereka dapat menguasai teknologi dan memasarkan produk hingga ke luar negara.

"Saya yakin dalam tempoh terdekat, kira-kira 6,257 usahawan kraf yang ada akan menyertai platform MCS ini dengan hampir 11,700 tenaga kerja yang ada.

"MOTAC akan memberi latihan dan bimbingan supaya matlamat KPI ini akan tercapai," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, MOTAC begitu berpuas hati dengan pencapaian 100 hari AKM dan kementerian akan sentiasa berkongsi berkenaan perkhidmatan yang ada dan memberi tawaran hebat untuk menggalakkan pelancongan.

Berita Harian X