Sabtu, 11 Disember 2021 | 12:33pm
Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah pada Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kali ke-64, UTM, Johor Bahru. - Foto NSTP/Nurul Amanina Suhaini
Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah pada Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kali ke-64, UTM, Johor Bahru. - Foto NSTP/Nurul Amanina Suhaini

Jangan dilupakan jasa ibu bapa - Raja Zarith Sofiah

JOHOR BAHRU: Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah menasihatkan graduan supaya tidak melupakan jasa ibu bapa yang banyak berkorban dalam memastikan mereka berjaya menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi.

Baginda bertitah, graduan perlu sentiasa menghargai, mencurahkan kasih sayang serta memberi perhatian kepada ibu bapa selagi kedua-duanya masih ada.

"Sebagai penghargaan atas segala pengorbanan, didikan, bimbingan, nasihat dan kasih sayang mereka yang tiada penghujung.

"Saya berdoa agar graduan semua akan berjaya mendapatkan pekerjaan yang diidamkan selama ini.

"Bagi graduan yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, saya ucapkan semoga maju jaya dan teruskan harapan ibu bapa serta mengejar impian anda sehingga berjaya," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan sesi pertama Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kali ke-64, di sini hari ini.

Raja Zarith Sofiah yang juga Canselor UTM turut berharap dalam kegembiraan meraikan kejayaan, graduan tidak melupakan mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

"Masih ramai yang hidup dalam keadaan serba kekurangan kerana kehilangan pekerjaan, kematian ahli keluarga, juga kerana pelbagai sebab yang lain.

"Saya berharap agar kita semua yang berkemampuan dapat bersama-sama membantu dalam menghulurkan apa-apa jua pertolongan dan sumbangan agar kehidupan golongan yang terjejas ini terbela," titah baginda.

Terdahulu, majlis konvokesyen turut menyaksikan sesi pengisytiharan Pro-Canselor Universiti yang baharu, iaitu isteri Tunku Mahkota Johor, Che' Puan Khaleeda Bustamam.

Pada konvokesyen kali ini, seramai 8,956 graduan menerima anugerah masing-masing membabitkan 748 orang menerima Ijazah Doktor Falsafah, 1,915 (Sarjana), 4,326 (Sarjana Muda), 4 (Anumerta), 719 (Diploma Sepenuh Masa) dan 1,248 (Diploma Program Kerjasama UTMSPACE).

Daripada jumlah itu, 812 orang adalah graduan antarabangsa dari 54 negara.

Berita Harian X