Jumaat, 10 Disember 2021 | 8:08pm
Orang ramai melawat gerai pameran 100 Hari AKM di KLCC. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi
Orang ramai melawat gerai pameran 100 Hari AKM di KLCC. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi

Program 100 Hari AKM terus dapat sambutan

KUALA LUMPUR: Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) yang memasuki hari kedua hari ini, terus mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang membawa keluarga bagi menyertai pelbagai aktiviti dianjurkan.

Selari menerapkan konsep keterangkuman yang dibawa melalui Keluarga Malaysia, program empat hari bermula semalam di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, itu dibanjiri kelompok masyarakat pelbagai peringkat usia, bangsa dan latar belakang.

Tinjauan BH mendapati, selain gerai pameran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dipenuhi orang ramai untuk membayar saman dengan diskaun sehingga 80 peratus, pengunjung turut mengambil peluang ke Dewan Lima yang menyediakan puluhan booth jualan pameran usahawan tempatan.

Orang ramai melawat gerai pameran  ketika melawat program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Kuala Lumpur Convention Centre. NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI

Golongan ibu bapa turut tidak ketinggalan membawa anak mereka merasai sendiri pengalaman bermain sukan rakyat seperti congkak, teng-teng, dam dan galah panjang, manakala pelajar sekolah pula berpeluang bermain permainan e-sukan secara percuma serta boleh menyertai pertandingan yang menawarkan hadiah sehingga RM40,000.

Pelajar, Mohamad Afiq Afnan, 16, berkata aktiviti yang disediakan penganjur, terutama sukan tradisional paling mengujakannya.

"Saya datang bersama ibu bapa dan tapak pameran paling lama dikunjungi kami adalah aktiviti sukan tradisional.

"Sudah lama rasanya tidak dapat mencuba permainan seperti congkak, jadi pengalaman hari ini (semalam) sangat menarik dan saya berharap kerajaan dapat mengadakan lagi program seperti ini pada masa depan," katanya.

Usahawan kraf tangan dari Sabah, Joan Cynthia, 37, berpuas hati kerana kunjungannya ke AKM sangat membantu dalam mendapatkan bantuan dan khidmat nasihat berkaitan perniagaan.

"Sebagai usahawan kraf tangan kecil-kecilan, saya amat memerlukan maklumat mengenai pinjaman dan kursus disediakan kerajaan bagi membantu peniaga," katanya.

Penjawat awam, L Parameswary, 29, pula berkata program julung kali diadakan itu amat bertepatan dengan aspirasi kerajaan bagi menyatupadukan seluruh rakyat serta mendekatkan orang ramai dengan pelbagai kementerian.

"Melalui program ini lebih senang untuk mengenali, mendapatkan perkhidmatan atau maklumat sama ada mengenai dasar dan bantuan tertentu.

"Saya sendiri bercadang melanjutkan pengajian, jadi program Jom Masuk IPT 2021 dianjurkan sangat membantu untuk saya mengenal pasti lebih terperinci tawaran setiap institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam negara," katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Wahi Nordin, berkata program Jom Masuk IPT 2021 bermatlamat menyebar luas maklumat pengajian sedia ada serta program baharu ditawarkan universiti awam, kolej komuniti dan institusi latihan kemahiran awam.

"Antara pengisian program termasuk pameran kerjaya, temu duga terbuka, cabutan bertuah dan khidmat nasihat peluang melanjutkan pengajian di IPTA.

"Sebanyak 20 universiti awam mengambil bahagian, selain institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) terpilih, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)," katanya.

Sepanjang empat hari program itu juga, pengunjung berpeluang menyaksikan pameran Tesla oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) di hadapan pentas mini.

Program AKM bersempena meraikan kejayaan semua kementerian yang mencapai sasaran Indeks Prestasi Utama (KPI).

Ia turut diadakan sebagai genap tempoh 100 hari pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang merujuk gaya kepemimpinan beliau itu dengan slogan Keluarga Malaysia.

Berita Harian X