Jumaat, 10 Disember 2021 | 4:48pm
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali. - Foto NSTP
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali. - Foto NSTP

Sidang pertama DUN Melaka 27 Disember

AYER KEROH: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka yang menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 20 November lalu akan mengangkat sumpah jawatan, pada 27 Disember ini.

Upacara angkat sumpah diadakan pada Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 yang berlangsung selama empat hari bermula 27 hingga 30 Disember ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, berkata pada hari pertama persidangan khas itu juga, usul pelantikan seorang Speaker DUN akan dikemukakan sebelum dipilih menerusi undian jika terdapat calon lain yang dicadangkan oleh ahli dewan yang lain.

Selain itu, katanya, turut diusulkan pelantikan seorang Timbalan Speaker.

"Kita juga menetapkan tempoh persidangan tidak lebih lima jam setiap hari sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta syarat yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, persidangan khas kali pertama itu diadakan berikutan pembentukan kerajaan negeri yang baharu selepas Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN pada PRN.

Katanya, selain upacara mengangkat sumpah ADUN serta pelantikan Speaker serta Timbalan Speaker DUN, persidangan itu juga akan menyaksikan pembentangan Bajet Melaka 2022.

Sementara itu, beliau berkata, Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang Rabu lalu memutuskan semua EXCO kerajaan negeri perlu menyediakan Sasaran Kerangka Kerja (SKK) untuk portfolio masing-masing, sama seperti kakitangan awam yang menyediakan Sasaran Kerja Tahunan (SKT).

Katanya, SKK itu perlu mengambil kira aku janji dalam manifesto BN, selain merangka pencapaian 100 hari serta untuk tempoh perkhidmatan sehingga lima tahun, termasuk perancangan baharu yang mahu dilaksanakan mengikut portfolio masing-masing.

"Kerajaan negeri akan menilai prestasi kerja semua EXCO negeri menerusi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) serta kad laporan yang akan diperkenalkan tidak lama lagi.

"EXCO juga diminta membentangkan pencapaian semasa SKK, KPI dan kad laporan bagi portfolio masing-masing pada minggu pertama setiap bulan.

"Susulan itu, kerajaan negeri menubuhkan satu jawatankuasa khas dikenali Jawatankuasa Pemantauan Manifesto yang akan bertanggungjawab memantau pelaksanaan aku janji dan inti pati manifesto oleh semua EXCO negeri," katanya.

Berita Harian X