Jumaat, 10 Disember 2021 | 3:24pm

'Atuk sayang Amira' - Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melahirkan rasa terharu dan tersentuh hati selepas bertemu dengan anak pasangan suami isteri yang menjadi korban nahas kemalangan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), kira-kira enam tahun lalu.

Perdana Menteri berkongsi video pertemuannya dengan Nur Firuza Amira yang kini berusia 13 tahun, anak sulung kepada pasangan, Allahyarham Fairuz Nizam Husain, 35, dan isterinya, Nova Safitri Azhari, 25, yang telah meninggal dunia dalam tragedi itu.

"Perasaan terharu, namun bercampur gembira apabila bertemu Amira.

"Kalau kalian semua masih ingat, Amira menjadi yatim piatu apabila kedua ibu bapanya terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya DUKE pada 2015.

"Amira, juga anak angkat saya, kini telah pun berusia 13 tahun. Ketika peristiwa itu berlaku, Amira baru sahaja berusia tujuh tahun," katanya menerusi perkongsian di Instagram hari ini.

Ismail Sabri turut mendoakan remaja itu sentiasa sihat dan di bawah lindungan dan rahmatNya.

"Atuk sayang Amira," tulisnya lagi.

Tragedi mengorbankan pasangan terbabit termasuk anak bongsu mereka, Nur Firuza Annisa, pada Mei 2015 itu mencetuskan kemarahan orang ramai apabila kemalangan itu didakwa berlaku berpunca daripada kecuaian pemandu lain.

Sejak kematian pasangan itu, Amira dan adiknya, Nur Firuza Aqila, kini dijaga oleh ibu saudara mereka yang juga kakak kepada arwah bapa mereka, Yusnida Hussain.

Ismail Sabri berkongsi video pertemuannya dengan Amira menerusi akuan Instagram.
Ismail Sabri berkongsi video pertemuannya dengan Amira menerusi akuan Instagram.
Berita Harian X