Khamis, 9 Disember 2021 | 10:33pm
Waris murid sebuah sekolah di Bandar Darulaman menyatakan bantahan terhadap guru tidak divaksin yang masih bebas di sekolah berkenaan. - NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI
Waris murid sebuah sekolah di Bandar Darulaman menyatakan bantahan terhadap guru tidak divaksin yang masih bebas di sekolah berkenaan. - NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI

'Kenapa guru tak divaksin bebas di sekolah?'

KUBANG PASU: Beberapa ibu bapa dan waris sebuah sekolah kebangsaan di Bandar Darulaman di sini membuat aduan polis berhubung seorang guru yang didakwa enggan divaksin, tetapi masih berada di sekolah berkenaan.

Wakil kumpulan ibu bapa dan waris murid itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu semalam, selain menghantar memorandum kepada pihak sekolah untuk tindakan lanjut, hari ini.

Mereka membantah dan melahirkan kebimbangan apabila mendakwa seorang guru wanita di sekolah itu enggan divaksin, namun masih bertugas di situ.

Mereka mendakwa walaupun guru berkenaan diasingkan daripada mengajar dan ditempatkan di surau sekolah, beliau masih bergerak bebas di kawasan sekolah seperti dilaporkan anak mereka.

Difahamkan, hampir 1,000 murid di sekolah itu yang belajar di Tahun Satu hingga Tahun Enam.

Seorang waris, Mohd Hasbi Fadil, 44, berkata mereka sudah membincangkan masalah itu dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan minggu lalu, namun setakat ini tiada tindakan diambil.

Katanya, mereka sepakat menyerahkan memorandum berkenaan kepada guru besar sekolah supaya mengambil tindakan dengan menukar guru wanita itu untuk keselamatan anak mereka.

"Kalau nak masuk mana-mana bangunan pun, kita kena lengkap vaksin, tapi apa yang kami tahu guru ini dibenarkan masuk ke sekolah walaupun tidak divaksin.

"Ia seperti melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan kami bimbang berlaku penularan COVID-19 kepada anak jika guru terbabit masih enggan divaksin dan berada di sekolah ini," katanya ditemui ketika melakukan perhimpunan secara aman di hadapan sekolah berkenaan, hari ini.

Mohd Hasbi berkata, lebih 50 ibu bapa dan waris di sekolah itu mengharapkan pihak sekolah atau jabatan pendidikan daerah dan negeri mengambil tindakan.

Katanya, tugas guru yang enggan divaksin itu terpaksa diambil alih guru lain, sekali gus memberi bebanan tambahan.

"Hari ini ibu bapa yang hadir hanya tujuh orang, manakala selebihnya tidak dapat datang kerana bertugas, selain mengikut SOP bagi mengelak ramai berhimpun.

"Saya harap perkara ini ditangani segera dan jalan mudah, tukar sahaja guru berkenaan ke tempat lain supaya anak kami selamat belajar di sini," katanya.

Waris lain, Mohd Huzaini Ahmad, 44, berkata, dua anaknya berusia lapan dan 12 tahun belajar di sekolah itu, namun berasa tidak selamat jika keadaan itu berlarutan.

Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri dalam kenyataannya berkata, pihaknya sudah menyiapkan laporan berkenaan isu itu dan akan menghantar kepada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk tindakan lanjut.

Berita Harian X