Khamis, 9 Disember 2021 | 1:57pm
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjawab soalan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjawab soalan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini. - Foto BERNAMA

Eksport pasir sungai dibenarkan ikut kes - Takiyuddin

KUALA LUMPUR: Aktiviti pengeksportan pasir sungai dibenarkan secara kes mengikut kes berdasarkan permohonan dikemukakan syarikat, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Takiyuddin berkata, kelulusan pengeksportan pasir dikeluarkan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) adalah khusus bagi tapak konsesi diluluskan pihak berkuasa negeri.

Selain itu, katanya, kelulusan itu dibuat dengan perincian seperti kuantiti pasir boleh dieksport, destinasi eksport dan tempoh pengeksportan boleh dijalankan.

Beliau berkata, permohonan mendapatkan kelulusan mengeksport pasir sungai akan diproses mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan KeTSA.

"Pemohon perlu terlebih dahulu mendapatkan kelulusan sumber pasir sungai (konsesi) daripada pihak berkuasa negeri dan melengkapkan semua dokumentasi teknikal. Semua permohonan disemak dan dinilai secara teknikal oleh jawatankuasa dikenali Jawatankuasa Teknikal Pengeksportan Pasir Ke Luar Negara (JKTEP).

"JKTEP turut melibatkan agensi teknikal seperti Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia dan lain-lain yang dijemput mengikut keperluan," katanya.

Menjawab soalan Isnaraissah Munirah Majilis (WARISAN-Kota Belud) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, Takiyuddin berkata, KeTSA juga bersedia dengan mekanisme teratur bagi mengawal selia aktiviti pengeksportan pasir agar dapat mengembalikan kapasiti asal sungai.

"Ia antara lain bagi menampung aliran air permukaan serta mengelakkan risiko banjir," katanya menambah, lesen mengeksport pasir ke luar negara dikeluarkan kepada 29 syarikat dengan kuantiti pasir diluluskan sebanyak 455,349,439 tan tahun ini.

Berita Harian X