Rabu, 8 Disember 2021 | 2:46pm

KKM sedang usaha beri penempatan doktor kontrak

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menggariskan beberapa perkara dalam usaha memberi penempatan kepada pegawai perubatan kontrak di fasilitinya.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata usaha itu termasuk mewujudkan jawatankuasa khas untuk membincangkan pindaan undang-undang berhubung Akta Perubatan, Akta Pergigian dan Akta Farmasi, selain mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai Akta Pencen.

"Kita berusaha supaya dapat memberi penempatan kepada doktor kontrak. Kita juga terus fikir bagaimana penambahbaikan dapat dilakukan bagi doktor siswazah, fleksibiliti untuk membuat kepakaran dan sebagainya," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai langkah dilaksanakan KKM untuk mengatasi kekurangan doktor pakar dan isu doktor kontrak.

Berhubung isu kekurangan doktor pakar, Dr Noor Azmi berkata, KKM sentiasa membuat penambahbaikan dengan menambah slot pengajian kepakaran di hospital dan peluang untuk mengikuti program 'Parallel Pathway' (program latihan kepakaran).

Selain itu, beliau berkata, KKM menyediakan pelbagai insentif untuk menarik lebih ramai doktor yang bekerja di luar negara supaya kembali bekerja di Malaysia dan seterusnya memberi perkhidmatan terbaik kepada negara.

Menjawab soalan asal Teo Nie Ching (PH-Kulai) mengenai nisbah doktor kepada penduduk di Malaysia serta matlamat KKM menjelang 2022 dan 2025, Dr Noor Azmi berkata, kerajaan menetapkan sasaran nisbah doktor perubatan kepada penduduk di Malaysia pada tahun depan ialah 1:425.

"KKM telah membuat unjuran keperluan doktor dalam negara yang disediakan mengikut perancangan lima tahun.

"Sebagai contoh dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kita menetapkan sasaran nisbah doktor perubatan kepada penduduk di Malaysia menjelang 2025 ialah 1:400 berbanding 1:450 dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11)," katanya.

Bagi menentukan keperluan pegawai perubatan pula, beliau menjelaskan, urusan itu dibuat berdasarkan lima perkara, iaitu jumlah penduduk dan jumlah kedatangan pesakit, kategori fasiliti KKM, skop perkhidmatan disediakan bagi fasiliti itu, tahap penjagaan dan beban penyakit.

Sementara itu, menjawab soalan Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) mengenai kadar hayat penggunaan katil serta fasiliti kesihatan di hospital, Dr Noor Azmi berkata, jangka hayat katil yang ideal adalah 10 hingga 15 tahun dan ia bergantung pada tempoh penggunaan serta kekerapan kerosakan.

Mengulas sama ada KKM berhasrat menukar katil dan fasiliti lain di Hospital Kemaman yang telah usang, beliau berkata, kementerian memperuntukkan sejumlah RM4.5 juta kepada hospital itu bagi perolehan peralatan perubatan sepanjang tempoh 2020 hingga Oktober lalu mengikut keutamaan pihak hospital dan Jabatan Kesihatan Negeri.

"Daripada peruntukan itu, pihak hospital memperoleh lima unit katil Unit Rawatan Rapi (ICU) berserta kelengkapan lain bagi perawatan pesakit di hospital itu.

"Pihak kementerian akan sentiasa memantau keperluan dalam penambahan dan penggantian katil dari semasa ke semasa agar perkhidmatan hospital itu tidak terjejas," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X