Rabu, 8 Disember 2021 | 1:49pm
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Tan Sri Noh Omar menyampaikan Anugerah Sahabat PKS kepada Pengarang Kumpulan BH, Datuk Saidon Idris (tengah) pada program Forum CEO PKS anjuran SAMENTA di Kuala Lumpur, hari ini -NSTP/Aswadi Alias
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Tan Sri Noh Omar menyampaikan Anugerah Sahabat PKS kepada Pengarang Kumpulan BH, Datuk Saidon Idris (tengah) pada program Forum CEO PKS anjuran SAMENTA di Kuala Lumpur, hari ini -NSTP/Aswadi Alias

BH terima Anugerah Sahabat PKS

KUALA LUMPUR: BH menerima Anugerah Sahabat PKS pada majlis Ulang Tahun Ke-35 Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) dan Forum CEO PKS di sini, hari ini.

Anugerah disampaikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Tan Sri Noh Omar kepada Pengarang Kumpulan BH, Datuk Saidon Idris.

Pengerusi SAMENTA, Datuk William Ng, berkata anugerah khas itu adalah tanda penghargaan kepada BH yang sentiasa komited dalam pemerkasaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), terutama sepanjang pandemik COVID-19.

Beliau berkata, media memainkan peranan sebagai pengantara atau suara antara persatuan dan pengusaha PKS kepada kerajaan serta pelanggan.

Katanya, jasa media khususnya BH adalah sangat dihargai, membolehkan PKS terus kukuh mendepani cabaran yang berlaku ketika ini.

Sementara itu, Saidon berkata sebagai media utama negara, akhbar ini sentiasa mendukung pemerkasaan PKS.

Beliau berkata, BH akan terus memainkan peranan dalam menyokong pemulihan negara, terutama ekonomi dalam kalangan PKS.

"Sebagai media utama di Malaysia, sudah menjadi tanggungjawab BH memberikan laporan yang tepat, pantas dan berimpak tinggi.

"PKS adalah tunjang utama ekonomi negara, justeru adalah penting BH menyokong pemerkasaan PKS melalui laporan berita kami," katanya.

Anugerah Sahabat PKS turut diberikan kepada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE); Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), SME Corporation Malaysia (SME Corp), AFFIN Bank, Sin Chew Daily, FMT dan BERNAMA.

Berita Harian X