Selasa, 7 Disember 2021 | 10:10pm
Persiapan Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang berlangsung esok.
Persiapan Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang berlangsung esok.

Komitmen kerajaan utama budaya kerja berprestasi tinggi

Putrajaya: Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) yang bakal berlangsung esok hingga 12 Disember ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam mengutamakan budaya kerja berprestasi tinggi.

Pengarah Eksekutif Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU), Jabatan Perdana Menteri, Wan Azilawati Wan Mahmood, berkata program selama empat hari itu menyasarkan seramai 20,000 pengunjung secara fizikal, manakala 100,000 lagi pengunjung secara dalam talian.

Beliau berkata, AKM juga menilai prestasi 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia bagi setiap Ahli Jemaah Menteri.

Pencapaian 100 Hari AKM itu, katanya, akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Majlis Perasmian 100 Hari AKM di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.

"Sebanyak 31 kementerian sudah menetapkan sasaran AKM masing-masing berdasarkan kepada enam teras antaranya menstruktur semula ekonomi, menjamin keselamatan dan ketenteraman negara serta meningkatkan kesejahteraan sosial.

"Teras lain juga merangkumi mempertingkatkan infrastruktur menyeluruh, memperkukuhkan penyatuan dalam acuan Keluarga Malaysia dan memperkasakan penyampaian perkhidmatan," katanya dalam temu bual khas bersama Berita Harian, New Straits Times, Harian Metro dan Buletin Utama.

Program berlangsung dari jam 9 pagi hingga 10 malam itu menyediakan pelbagai aktiviti untuk semua lapisan masyarakat.

Wan Azilawati berkata, antara aktiviti yang boleh dimanfaatkan oleh pengunjung adalah Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia, Jom Masuk Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), Diskaun Saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Selain itu, beliau berkata, pelbagai aktiviti untuk golongan belia turut disediakan seperti I'm Youth, Pertandingan E-Sukan dan Sukan Rakyat.

"Program ini juga akan menganjurkan aktiviti Padanan Perniagaan atau 'Business Matching', Pameran dan Jualan Usahawan serta Perkhidmatan Langsung Agensi Kerajaan.

"Cabutan bertuah dengan hadiah menarik juga menanti pengunjung, selain pelbagai program kerohanian seperti Zikir Berkah Keluarga Malaysia, Quran Hour dan Malam Aspirasi Seni," katanya.

Hari pertama Program 100 Hari AKM akan menyaksikan majlis perasmian yang bakal disempurnakan oleh Ismail Sabri di KLCC.

Pelbagai acara dirangka bagi mengisi empat hari sepanjang program di pentas utama, tiga pentas mini dan sukan rakyat, termasuk persembahan Citra Malaysia, peragaan busana tradisi, bual bicara ikon usahawan dan persembahan teater.

Selain itu, pertunjukan keroncong, demonstrasi manik, persembahan 'busking', dikir barat dan program Wanita Bangkit di pentas mini, sukan rakyat serta kejohanan e-sports.

Pengunjung juga boleh memanfaatkan pelbagai aktiviti dengan menyertai bengkel aspirasi bermula Jumaat ini, termasuk bengkel Jom Masuk IPT, bengkel 'Better Cities, Better Lives - Towards A Liveable Malaysia', Rangka Kerja Pelestarian Plastik, Forum Prinsip Kesepaduan Sosial Dalam Membina Keluarga Malaysia: Realiti dan Cabaran, Diskusi Nasional Daya Huni Malaysia dan Seminar Penghijauan Malaysia-Kempen Penanaman 100 Juta Pokok.

Seminar Konservasi Harimau Malaya serta pameran ekosistem pekerjaan dan pameran kerja Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sepanjang empat hari program itu juga, pengunjung berpeluang menyaksikan pameran Tesla oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) di hadapan pentas mini.

Berita Harian X