Selasa, 7 Disember 2021 | 4:38pm
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki. - NSTP/AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki. - NSTP/AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

SPRM belum terima laporan dakwaan kartel Imigresen

SEREMBAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum menerima maklumat lanjut mengenai dakwaan wujudnya kartel dalam Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membabitkan pegawai pelbagai peringkat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata dakwaan berkenaan mungkin wujud hasil siasatan dalam agensi berkenaan manakala laporannya belum diserah kepada SPRM.

"Kenyataan yang disebut menteri itu belum ada butirannya lagi. Kenyataan ini mungkin timbul hasil siasatan dalaman atau perkara dalaman Imigresen.

"Sehingga kini, saya belum dapat maklumat kartel sebenar yang dimaksudkan," katanya pada sidang media selepas menghadiri Kolokium Antirasuah Adat Perpatih Melingkari Hidup Berintegiriti di sini, hari ini.

Jika maklumat berkenaan disalurkan kepada SPRM, Azam berkata, SPRM akan meneliti sama ada ia di bawah bidang kuasa agensi itu atau sebaliknya.

Katanya, dakwaan itu antara lain menyebut istilah broker atau orang tengah.

"Apakah yang disebut itu ada kaitan dengan rasuah atau tidak dan adakah ia menjangkau masuk ke pegawai kerajaan dalam Imigresen," katanya.

Pada 1 Disember lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, mendedahkan menerima laporan berhubung kewujudan kegiatan kartel dalam Jabatan Imigresen, membabitkan pegawai pelbagai peringkat.

Berita Harian X