Isnin, 6 Disember 2021 | 5:19pm
Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Kelautan dan Informatik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Ts Dr Che Mohd Ruzaidi Ghazali (tiga, kiri) beramah mesra dengan graduan yang juga rakan sekerja pada Majlis Konvokesyen Ke-18 (Siri Dua) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini.
Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Kelautan dan Informatik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Ts Dr Che Mohd Ruzaidi Ghazali (tiga, kiri) beramah mesra dengan graduan yang juga rakan sekerja pada Majlis Konvokesyen Ke-18 (Siri Dua) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini.

Tujuh rakan sekerja terima Ijazah Sarjana serentak

KUALA NERUS: Tujuh sahabat mengukir kenangan manis tersendiri apabila menerima Ijazah Sarjana serentak pada Majlis Konvokesyen Ke-18 (Siri Dua) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini.

Mereka ialah Wan Mohd Wazir Wan Abdul Wahab, 43; Ahmad Nazir Haron, 43; Abdul Rahim Abu Bakar, 39; Tajul Arifin Abd Manan, 45; Mohamad Jazli Shafizan Jaafar, 44; Nordin Abd Rasid, 38; dan Mohd Erman Safawie Che Ibrahim, 35.

Wan Mohd Wazir berkata, mereka semua bertugas sebagai Pegawai Teknologi Maklumat di Pusat Ekosistem Digital UMT pada asalnya tidak merancang mahu melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana bersama-sama.

"Ia adalah kebetulan apabila UMT memperkenalkan dua kursus baharu iaitu Sarjana Teknologi Maklumat dan Sarjana Sains Komputer pada 2019. Kami daftar pun berasingan dan mengetahuinya selepas pengajian hampir bermula.

"Alhamdulillah, di sebalik kesibukan sebagai pekerja dan pelajar, ada juga hikmahnya kerana ia memudahkan lagi kami semua yang bekerja dalam satu pejabat berinteraksi dan bertukar idea untuk melakukan yang terbaik sepanjang pengajian," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Semua mereka adalah pelajar ambilan pertama bagi dua kursus tersebut dan berharap kejayaan mereka akan memotivasikan lagi kakitangan UMT yang lain untuk terus melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi walaupun perlu mengeluarkan perbelanjaan sendiri.

Konvokesyen yang berlangsung selama tujuh hari bermula hari ini meraikan seramai 2,878 graduan iaitu 52 graduan Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana (152), Ijazah Sarjana Muda (2,559) dan Diploma (115).

Sementara itu, penerima Ijazah Sarjana Sains Bioteknologi, Farah Najihah Razali, 27, berazam mahu terus mendidik masyarakat melalui kepakarannya dalam bidang marin biologi di platform YouTube milik ML Studios.

Beliau yang telah berkongsi 19 video di platform itu berharap perkongsiannya dapat memberi manfaat kepada orang ramai terutama pelajar dalam bidang marin atau pencinta alam sekitar.

"Saya berhasrat untuk menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang sains mikrobiologi dan mewujudkan akaun YouTube sendiri namun masih mencari individu yang sesuai untuk kerja penyuntingan video.

"Kita perlu manfaatkan kecanggihan teknologi sekarang untuk menyebarluaskan ilmu pengetahuan yang ada demi kebaikan semua," katanya yang kini bertugas sebagai pensyarah di Pusat Asasi STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) di UMT. – BERNAMA

Berita Harian X