Jumaat, 3 Disember 2021 | 7:30pm
Empat sungai di Terengganu berada pada paras amaran manakala lima lagi paras waspada. - Foto hiasan
Empat sungai di Terengganu berada pada paras amaran manakala lima lagi paras waspada. - Foto hiasan

4 sungai di Terengganu lepasi paras amaran

KUALA TERENGGANU: Empat sungai di Terengganu berada pada paras amaran manakala lima lagi paras waspada.

Menurut portal publicinfobanjir.water.gov.my, Sungai Chalok di Jambatan Chalok, Setiu yang sebelum ini melepasi paras bahaya dengan bacaan 9.77 meter (m) menunjukkan penurunan kepada 8.14m sekali gus berada pada paras amaran.

Tiga lagi sungai yang melepasi paras amaran membabitkan dua sungai di Hulu Terengganu dan satu di Kuala Nerus.

Di Hulu Terengganu, Empangan Tembat yang berada pada paras 430.06m melepasi paras amaran 430m dan Sungai Telemong di Kuala Ping merekodkan bacaan 19.44m melepasi paras amaran 18.70m.

Satu lagi sungai yang melepasi paras amaran adalah Parit Utama di Padang Kemunting, Kuala Nerus mencatatkan bacaan 3.75m melepasi paras amaran 3.60m.

Selain itu, lima sungai iaitu tiga di Setiu serta masing-masing satu di Besut dan Marang sudah melepasi paras waspada.

Di Setiu, Sungai Nerus di Kampung Bukit, Sungai Setiu di Kampung Besut dan Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri masing-masing berada pada paras 11.75m, 16.70m dan 7.81m.

Dua lagi sungai yang melepasi paras waspada adalah Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut (33.66m) dan Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan, Marang (2.12m).

Ketika ini, keadaan hujan berterusan namun sesekali lebat di kebanyakan kawasan di seluruh Terengganu.

Berita Harian X