Jumaat, 3 Disember 2021 | 10:19am
Paras air di kebanyakan sungai di Terengganu menunjukkan trend peningkatan susulan hujan berterusan sejak semalam. - Foto hiasan
Paras air di kebanyakan sungai di Terengganu menunjukkan trend peningkatan susulan hujan berterusan sejak semalam. - Foto hiasan

Satu sungai Terengganu melepasi paras bahaya

KUALA TERENGGANU: Paras air di kebanyakan sungai di Terengganu menunjukkan trend peningkatan susulan hujan berterusan sejak semalam dengan satu sungai di daerah Setiu melepasi paras bahaya.

Menurut portal publicinfobanjir.water.gov.my, Sungai Chalok di Jambatan Chalok, Setiu yang merekodkan bacaan 9.77 meter (m) melepasi paras bahaya 8.40m.

Sementara itu, tiga lagi sungai kini direkodkan melepasi paras amaran membabitkan sungai di Setiu, Kuala Nerus dan Besut.

Di Setiu, Sungai Setiu di Kampung Besut merekodkan bacaan 17.42 m melepasi paras amaran 17 m manakala Parit Utama di Padang Kemunting, Kuala Nerus mencatatkan bacaan 3.72 m melepasi paras amaran 3.60m.

Satu lagi sungai yang melepasi paras amaran adalah Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut yang berada pada paras 34.05m berbanding paras amaran 34m.

Selain itu, lima sungai iaitu dua di Setiu serta masing-masing satu di Besut, Marang dan Kemaman juga direkodkan melepasi paras waspada.

Di Setiu, Sungai Nerus di Kampung Langkap dan Sungai Nerus di Kampung Bukit masing-masing berada pada paras 19.59m dan 10.70m.

Tiga lagi sungai yang melepasi paras waspada adalah Sungai Besut di Kampung La, Besut (19.87 m); Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan, Marang (2.03m) dan Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik, Kemaman (1.61m).

Berita Harian X