Khamis, 2 Disember 2021 | 10:19am
- Hiasan. FOTO NSTP
- Hiasan. FOTO NSTP

4,536 pengembara tiba selepas 4 VTL dibuka

JOHOR BAHRU: Dianggarkan seramai 4,536 pengembara tiba menerusi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksinasi (VTL) darat dalam tempoh empat hari pelaksanaannya bermula pada Isnin lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan Dan Infrastruktur, Mohd Solihan Badri berkata, jumlah itu berdasarkan penjualan tiket secara atas talian syarikat bas.

Katanya, pada hari pertama VTL darat dibuka, pengembara dari Singapura ke Malaysia ialah 953 orang iaitu 66 peratus daripada kuota 1,440 yang dibenarkan sehari perjalanan.

"Hari kedua membabitkan seramai 1,037 pengembara (72 peratus), semalam sebanyak 1,269 (88 peratus) dan setakat hari ini, membabitkan 1,277 (89 peratus).

"Pengembara VTL darat dari Malaysia ke Singapura pada hari pertama ialah 220 iaitu 15 peratus dari kuota dibenarkan.

"Hari kedua 188 (13 peratus), semalam 291 (20 peratus) dan setakat hari ini 275 (19 peratus)," katanya, hari ini.

Pada Isnin lalu, pembukaan sempadan Malaysia dan Singapura menerusi VTL darat antara dua negara mula beroperasi dengan had kuota 1,440 pengembara sehari.

Perkhidmatan bas menjadi mekanisme pengangkutan digunakan VTL darat ketika ini, dengan 64 kekerapan sehari, menggunakan perkhidmatan bas Handal Indah (Causeway Link) (Malaysia) dan Transtar (Singapura).

Sementara itu, Pengurus Bangunan Larkin Sentral, Mohd Helmi Mohd Affendi berkata, pihaknya menjangkakan jumlah pengembara akan terus meningkat.

"Kita jangkakan pengembara yang tiba dari Singapura menerusi VTL darat akan terus meningkat dari semasa ke semasa," katanya.

Berita Harian X