Rabu, 1 Disember 2021 | 5:50pm
Asmawi Saari, 30, membeli kit ujian pantas antigen yang dijual pada harga RM4.90 di sebuah pasar raya di Sentul. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Asmawi Saari, 30, membeli kit ujian pantas antigen yang dijual pada harga RM4.90 di sebuah pasar raya di Sentul. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim

Kit ujian pantas COVID-19 diwarta barang kawalan mulai hari ini

KUALA LUMPUR: Kerajaan mewartakan Kit Ujian Pantas Antigen COVID-19 (Ujian Sendiri) sebagai barang kawalan berkuat kuasa hari ini, bagi menjamin bekalan kit ujian itu mencukupi di pasaran.

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam, berkata bagi menjamin keberadaan dan bekalan sentiasa mencukupi di pasaran, kerajaan mengambil langkah proaktif dengan mewartakan kit ujian itu di bawah Perintah Kawalan Bekalan (Barang-Barang Kawalan) (No.6) 2021 pada 24 November lalu dan dikuatkuasakan pada 1 Disember 2021.

Menurutnya buat masa ini, bekalan kit ujian itu didapati mencukupi di pasaran dan sehingga kini tiada aduan berkenaan kekurangan bekalan diterima oleh pihak KPDNHEP.

"KPDNHEP ingin memberikan amaran kepada peniaga agar terus mematuhi peruntukan undang-undang berkaitan Kit Ujian Pantas Antigen COVID19 ini bagi mengelak tindakan tegas diambil oleh pihak Kementerian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azman peniaga yang melakukan kesalahan berhubung perkara itu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya bagi individu; manakala syarikat pula boleh didenda sehingga RM2 juta.

Beliau berkata kit ujian itu boleh diperolehi di farmasi dan fasiliti kesihatan, serta di premis-premis berdaftar seperti pasar raya, kedai serbaneka dan stesen minyak.

Menurutnya pengguna yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku peniaga yang berkaitan boleh melaporkan kepada pihak KPDNHEP untuk tindakan lanjut dengan menghantar maklumat ke Whatsapp 019-279 4317, portal e-aduan.kpdnhep, Call Centre 1-800-886-800, Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my, Ez ADU KPDNHEP dan Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245. – BERNAMA

Berita Harian X