Selasa, 30 November 2021 | 1:05pm
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid. - Foto NSTP
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid. - Foto NSTP

Mekanisme bantu peniaga Bumiputera di pusat beli-belah perlu diperhalusi

KUALA LUMPUR: Cadangan kerajaan memperuntukkan kuota khusus bagi peniaga Bumiputera dilihat sebagai tindakan pemulihan strategik mengambil kira cabaran pandemik COVID-19 yang menyebabkan ramai usahawan terjejas teruk, termasuk tidak mampu menampung kos sewa premis di dalam pusat beli-belah.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata pelan kerajaan itu antara usaha murni bagi memartabatkan semula pengusaha Bumiputera yang berkecimpung dalam sektor peruncitan dan berhasrat membuka premis di pusat beli-belah tumpuan ramai.

"Dulu sebelum pandemik, ramai peniaga runcit Bumiputera yang terpaksa keluar daripada pusat beli-belah disebabkan kenaikan kadar sewa yang tinggi, termasuk mereka yang lama berniaga di situ.

"Sekiranya mereka dapat kembali (ke pusat beli-belah) dan peniaga Bumiputera yang baharu berjinak serta mempunyai kemampuan bersama jenama serta produk yang bagus, adalah sangat baik untuk menggunakan peluang diberikan oleh kerajaan ini," katanya.

BH sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan bercadang memperuntukkan kuota Bumiputera bagi premis perniagaan di lokasi strategik sebagai usaha meningkatkan daya saing dan mengukuhkan ekonomi golongan itu.

Aimi Zulhazmi berkata, usaha itu juga ibarat serampang dua mata kerana boleh digunakan untuk menaikkan jenama produk dan perkhidmatan Bumiputera di peringkat nasional dan antarabangsa, khususnya membabitkan pusat beli-belah ternama serta bertaraf dunia.

"Mekanisme bagaimana kerajaan akan meletakkan peniaga Bumiputera di dalam premis pusat beli-belah ternama di Malaysia adalah perkara yang ditunggu-tunggu oleh masyarakat.

"Pembabitan agensi kerajaan juga tentunya penting bagi merealisasikan pelan ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Penyelidikan Risiko Ekonomi dan Politik, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, berpandangan hasrat kerajaan untuk menyemak semula pengurusan pusat beli-belah dimiliki syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah tindakan wajar dalam konteks merealisasikan aspirasi Keluarga Malaysia, khususnya membantu golongan peniaga Bumiputera yang terjejas teruk.

"Dalam sesebuah keluarga, pencapaian, prestasi serta tahap pembangunan ahli keluarga itu berbeza-beza. Jadi, pemahaman terhadap ciri serta dinamik perbezaan ini penting untuk mencapai sasaran sebuah masyarakat yang lebih adil dan saksama terutamanya dalam aspek ekonomi dan perniagaan.

"Dalam konteks impak pandemik kepada kehidupan dan sosioekonomi rakyat, jelas pemulihan yang berlaku juga tidak sama. Dari segi perniagaan, ada yang hilang mata pencarian dan juga mempunyai masalah aliran tunai serta peniaga yang gulung tikar," katanya kepada BH.

Justeru, beliau berkata, bantuan dan inisiatif seperti itu amat diperlukan bukan saja untuk bangkit semula daripada kesan pandemik, tetapi mencapai prestasi perniagaan yang lebih baik daripada sebelumnya.

Menyentuh keperluan kerajaan menyediakan kuota bagi peniaga Bumiputera di pusat beli-belah terkemuka dalam situasi peralihan perniagaan secara dalam talian lebih menggalakkan, beliau melihat tidak semua bentuk perniagaan sesuai dilakukan melalui kaedah itu.

Sebaliknya, jelas beliau, inisiatif berkenaan sangat membantu dan dapat menjadi pelengkap kepada agenda digital ekonomi negara.

Bagi penganalisis ekonomi dari Universiti Malaya (UM), Dr Roza Hazli Zakaria, langkah yang dicadangkan itu mungkin lebih menguntungkan peniaga Bumiputera yang mempunyai modal besar dan daya tahan tinggi.

"Saya melihat dalam keadaan ekonomi sekarang golongan peniaga Bumiputera yang perlu dibantu adalah peniaga kecil dan tidak mempunyai modal besar.

"Saya tidak pasti bagaimana memperuntukkan kuota kepada Bumiputera dapat membantu peniaga kecil, apatah lagi dalam keadaan ekonomi semasa, pengguna lebih berhati-hati dalam berbelanja, jadi peniaga juga mungkin hadapi masalah untuk meraih jualan mencukupi.

"Dalam jangka masa panjang, sekiranya pandemik semakin berkurangan dengan ekonomi kembali pulih serta kemasukan pelancong kembali seperti dulu, premis perniagaan di pusat beli-belah berprestij boleh membantu perkembangan ekonomi Bumiputera, tetapi dalam jangka masa pendek, saya melihat langkah ini sukar untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi Bumiputera," katanya.

Mengulas langkah dicadangkan kerajaan untuk menukar pengurusan pusat beli-belah dimiliki GLC supaya diuruskan syarikat tempatan bagi memastikan tempat kepada peniaga Bumiputera, beliau menyifatkan tindakan itu kurang jelas terutama bentuk bantuan yang akan diberikan.

"Mungkin kita boleh lihat sejauh mana pusat beli-belah seperti Malakat Mall yang menyasar kepada peniaga Bumiputera, adakah ia mampu menjana ekonomi peniaga Bumiputera?

"Melainkan ada perubahan dilakukan seperti pengecualian sewa atau penurunan kadarnya pada peringkat awal perniagaan," katanya.

Berita Harian X