Isnin, 29 November 2021 | 3:17pm

Isteri nyanyi lagu hari jadi sambut suami

JOHOR BAHRU: Suasana di Terminal Pengangkutan Awam Darat Larkin Sentral, di sini bertukar ceria apabila seorang isteri dan pengunjung lain menyanyikan lagu selamat hari jadi sebagai kejutan kepada suami wanita berkenaan.

Suri rumah, Mushaibah Fauzi, 32, turut membawa gugusan belon berbentuk hati sebagai kejutan buat suaminya, Muhammad Wafi Akashah, yang menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-32, semalam.

Sebaik saja melihat kelibat suaminya keluar dari pintu keluar laluan VTL Darat di terminal berkenaan, Mushaibah menyanyikan lagu selamat hari jadi, sebelum pengunjung lain turut menyanyikan lagu itu beramai-ramai.

Mushaibah berkata, beliau dan tiga anak terlalu rindukan suaminya yang sudah hampir setahun terperangkap di Singapura.

Mushaibah memeluk suaminya, Muhammad Wafi yang pulang ke tanah air selepas hampir setahun terperangkap di Singapura akibat sekatan rentas sempadan. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Mushaibah memeluk suaminya, Muhammad Wafi yang pulang ke tanah air selepas hampir setahun terperangkap di Singapura akibat sekatan rentas sempadan. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan

"Saya dan keluarga sudah lama menanti supaya kami akhirnya dapat bertemu semula selepas hampir setahun tidak dapat bertemu akibat sempadan ditutup.

"Saya rasa sangat bersyukur apabila suami memberitahu akan pulang ke Johor Bahru. Sebaik pengumuman VTL-Darat, dia terus memohon cuti dan membeli tiket pulang ke sini.

"Bagi meraikan kepulangan dan hari lahir suami, saya menyediakan makanan kegemarannya iaitu laksam. Dia sudah lama teringin menikmati menu hasil air tangan saya.

"Kepulangan suami juga tidak diketahui tiga anak kami. Suami merancang membuat kejutan buat anak apabila pulang ke rumah di Nong Chik, namun saya mengejutkannya dulu dengan nyanyian lagu hari jadi," katanya ketika ditemui, di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral.

Pasangan suami isteri berasal dari Alor Setar dan Jitra, Kedah itu, bercadang bercuti bersama tiga anaknya berusia lima hingga tujuh tahun di Desaru, dalam masa terdekat.

Katanya, ia sebagai hadiah percutian buat tiga anak mereka selepas suaminya terlepas meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga serta tidak berkesempatan meraikan ulang tahun kelahiran anak.

"Memandangkan suami bertugas sebagai jurutera di Singapura hanya bercuti dua minggu saja, kami merancang untuk pergi bercuti memanfaatkan masa berkualiti dengan keluarga," katanya.

Mushaibah mencium suaminya, Muhammad Wafi sejurus keluar dari VTL Darat di Terminal Pengangkutan Awam Darat Larkin Sentral. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Mushaibah mencium suaminya, Muhammad Wafi sejurus keluar dari VTL Darat di Terminal Pengangkutan Awam Darat Larkin Sentral. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Berita Harian X