Isnin, 29 November 2021 | 12:31pm
Pengembara yang menggunakan laluan VTL Darat dari Queen Street Singapura melalui Tambak Johor di Terminal Bas dan Pengangkutan Awam Larkin Sentral, Johor. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Pengembara yang menggunakan laluan VTL Darat dari Queen Street Singapura melalui Tambak Johor di Terminal Bas dan Pengangkutan Awam Larkin Sentral, Johor. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan

VTL Darat: 'Mahu buat kejutan kepada keluarga'

JOHOR BAHRU: Seorang pengurus operasi yang bekerja di Singapura mengambil cuti tiga bulan bagi membuat kejutan kepada keluarganya di Nusajaya, di sini, selepas hampir setahun tidak pulang.

G Kavin Raj, 25, berkata dia tidak memaklumkan keluarganya akan pulang menerusi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin-Laluan Darat (VTL Darat).

Katanya, ibu dan neneknya ada bertanyakan sama ada dia akan pulang, namun memberitahu tidak dapat membeli tiket yang sudah kehabisan.

"Sebenarnya saya mahu memberi kejutan kepada ibu dan nenek, apatah lagi tidak dapat pulang ketika sambutan perayaan Deepavali, baru-baru ini.

"Sudah tentu saya sangat rindukan ibu, nenek dan ahli keluarga yang lain, malah saya ambil cuti selama tiga bulan bagi menghabiskan masa bersama mereka sebelum kembali ke Singapura," katanya ketika ditemui di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral, di sini, hari ini.

Seramai 46 pengembara bagi kumpulan pertama tiba di Larkin Sentral, dari Singapura melalui VTL Darat.

Semua mereka tiba di terminal itu dengan menaiki bas TranStar jam 9.10 pagi disambut oleh Penasihat Menteri Besar, Datuk Tee Siew Keong.

Ini adalah kumpulan pertama rakyat Malaysia dan pengembara yang menggunakan VTL Darat menyeberangi Tambak Johor buat pertama kali sejak hampir dua tahun sempadan antarabangsa ditutup akibat penularan COVID-19.

Terdahulu, lima warganegara ini yang mempunyai pemastautin tetap (PR) menggunakan VTL Darat menaiki bas Causeway Link yang berlepas jam 7.30 pagi menuju ke negara republik itu.

Kavin Raj berkata, proses pemeriksaan yang dilakukan sebaik tiba di terminal itu agak teliti, namun berjalan lancar.

"Semua pengembara dari Singapura yang tiba perlu mengemukakan 'Vaccination Travel Pass' (VTP) serta keputusan ujian COVID-19 yang dilakukan di Singapura dalam tempoh 72 jam lalu.

"Selepas semua dokumen dan keputusan di sana (Singapura) sudah disahkan, kami diarah melakukan ujian pengesanan pantas (RTK) atau On Arrival Test (OAT) COVID-19 di Terminal Larkin Sentral.

"Selepas keputusan OAT negatif, barulah Kementerian Kesihatan (KKM) benarkan kami melepasi pintu keluar laluan VTL Darat," katanya.

Berita Harian X