Isnin, 29 November 2021 | 10:56am

VTL Darat: Penantian pulang ke tanah air berakhir

JOHOR BAHRU: Air mata seorang lelaki yang rindukan anak dan isteri mengiringi kepulangan seorang rakyat Malaysia yang terperangkap di Singapura sejak lebih setahun lalu.

Bali anak Jalang, 36, adalah rakyat Malaysia dari kumpulan pertama seramai 46 orang yang tiba di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral, di sini, kira-kira jam 9.10 pagi tadi.

Bali menjadi rakyat Malaysia pertama yang melepasi pintu keluar Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin-Laluan Darat (VTL Darat) di terminal berkenaan selepas pemeriksaan ketat, termasuk ujian pengesanan pantas (RTK), 'On Arrival Test' (OAT) COVID-19.

Beliau yang bekerja sebagai juruteknik pendingin hawa di Singapura sejak 16 tahun lalu, dilihat mengalirkan air mata sebaik melihat isterinya, Donna Alicia, 34, bersama tiga anak mereka yang menanti penuh setia di pintu keluar terminal.

"Perasaan saya bercampur baur. Saya tidak dapat tidur semalaman dan tiba di Terminal Queen, Singapura bagi menaiki bas sejak jam 6 pagi tadi walaupun bas dijadualkan bertolak jam 8 pagi dari sana.

"Saya terlalu rindukan isteri dan anak-anak. Lega rasanya apabila kerinduan ini akhirnya terungkai selepas lama kami berpisah," katanya sambil mengesat air mata kegembiraan.

Dia ditemui media selepas keluar dari pintu keluar laluan VTL-Darat, di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral, di sini, hari ini.

Penasihat kepada Menteri Besar Johor, Datuk Tee Siew Kiong menyambut ketibaan pengembara VTL rakyat Malaysia yang berlepas dari Queen Street Singapura melalui Tambak Johor yang selamat tiba pada jam 9.13 pagi di Terminal Bas dan Pengangkutan Awam Larkin Sentral , Johor. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Penasihat kepada Menteri Besar Johor, Datuk Tee Siew Kiong menyambut ketibaan pengembara VTL rakyat Malaysia yang berlepas dari Queen Street Singapura melalui Tambak Johor yang selamat tiba pada jam 9.13 pagi di Terminal Bas dan Pengangkutan Awam Larkin Sentral , Johor. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Penasihat Menteri Besar, Datuk Tee Siew Keong, menyambut ketibaan kumpulan pertama VTL-Darat yang tiba di terminal berkenaan kira-kira jam 9.10 pagi tadi.

Minggu lalu, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, dilaporkan mengumumkan VTL darat antara Malaysia dan Singapura akan dilaksanakan serentak dengan VTL udara pada 29 November ini.

Hasni dilaporkan berkata, ia hasil perbincangan yang memutuskan perjalanan darat hanya untuk pemegang pas jangka panjang.

Isnin lalu pula, Hasni dilaporkan berkata, Johor bersedia menerima masuk seramai 1,440 individu pada minggu pertama laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) darat antara Malaysia dan Singapura.

Perjalanan darat antara Singapura dan Johor Bahru hanya merangkumi pemegang pas jangka panjang bagi mereka yang bekerja di Singapura dan Johor Bahru.

Selain diwajibkan divaksinasi penuh, laluan VTL hanya menggunakan bas sebagai mekanisme pengangkutan.

Perkhidmatan bas VTL darat ditetapkan ke Singapura menerusi Terminal Bas Larkin Sentral sebagai lokasi turun naik penumpang di Malaysia.

Manakala Terminal Queen Street dijadikan pusat turun naik penumpang di Singapura.

Bali anak Jalang gembira memeluk anak dan isterinya sebaik tiba di Terminal Bas dan Pengangkutan Awam Larkin Sentral, Johor. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Bali anak Jalang gembira memeluk anak dan isterinya sebaik tiba di Terminal Bas dan Pengangkutan Awam Larkin Sentral, Johor. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Berita Harian X