Ahad, 28 November 2021 | 10:31pm
Hasni ketika penggulungan pada Sidang Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di sini, hari ini. IHSAN MEDKOM
Hasni ketika penggulungan pada Sidang Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di sini, hari ini. IHSAN MEDKOM

Usah persoal bilangan boleh rentas sempadan Johor

ISKANDAR PUTERI: Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad menegur pembangkang yang mempersoalkan jumlah pengembara dibenarkan merentas sempadan Malaysia-Singapura menerusi Laluan Perjalanan Bagi Orang Sudah Divaksinasi (VTL) darat Malaysia-Singapura.

Hasni berkata, pembangkang tidak seharusnya mendakwa jumlah dibenarkan itu terlalu kecil pada minggu pertama VTL darat itu sedangkan kerajaan negeri berusaha gigih memastikan perkara itu direalisasikan sejak tahun lalu.

Beliau berkata, apa yang perlu diberi perhatian ialah sempadan darat kedua-dua negara akhirnya dibuka semula bermula esok menerusi VTL darat selepas pelbagai usaha digerakkan ke arah itu.

"Tidak perlulah untuk kita mempersoalkan bilangan orang yang dibenarkan merentas sempadan Malaysia-Singapura.

"Sama ada 1,440 orang itu terlalu kecil bilangannya, mahu pun mempersoal mengapa perlu dikenakan ujian di pintu masuk.

"Yang penting, sempadan Johor-Singapura sudah dibuka dan dalam masa terdekat keadaan akan kembali hampir seperti sebelum penutupannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika penggulungan Belanjawan Johor 2022 pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14,di sini, hari ini.

Pada 21 November lalu, Hasni memaklumkan DUN Johor seramai 1,440 individu dijangka menggunakan laluan VTL darat antara Malaysia dan Singapura yang akan dilaksanakan serentak dengan VTL udara, esok.

Bagaimanapun, Pakatan Harapan (PH) Johor menerusi kenyataannya pada Khamis membangkitkan persoalan kuota harian VTL darat yang disifatkan terlalu sedikit.

Perjalanan darat antara Singapura dan Johor Bahru hanya merangkumi pemegang pas jangka panjang bagi mereka yang bekerja di Singapura dan Johor Bahru.

Selain diwajibkan divaksinasi penuh, laluan VTL hanya menggunakan bas sebagai mekanisme pengangkutan.

Perkhidmatan bas VTL darat ditetapkan ke Singapura menerusi Terminal Bas Larkin Sentral sebagai lokasi turun naik penumpang di Malaysia.

Manakala Terminal Queen Street dijadikan pusat turun naik penumpang di Singapura.

Berita Harian X